Ibrahim Ali teguh bersama dasar dwi-kategori FFM

ibrahim-ali_ffm_600

PETALING JAYA: Perkasa hari ini menyatakan sokongan penuh terhadap pengasingan kategori Festival Filem Malaysia (FFM) mengikut bahasa, selaras kedudukan bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan.

Presidennya Datuk Ibrahim Ali berkata ini kerana ia mendaulatkan bahasa kebangsaan.

“Negara kita Malaysia mempunyai masyarakat majmuk terdiri daripada pelbagai kaum yang majoritinya kaum Melayu.

“Perkasa percaya atas sebab majoriti keluaran filem tempatan adalah dalam bahasa Melayu, maka amat sesuailah mereka yang terbabit dengan filem-filem Melayu perlu diberi keutamaan walaupun mereka bukan Melayu,” kata Ibrahim dalam satu kenyataan hari ini.

Pengasingan filem berdasarkan bahasa diperkenalkan sejak 2011. Tahun ini, FFM menambah dua lagi kategori yang diasingkan iaitu Pengarah Terbaik dan Lakon Layar Terbaik, mengundang kritikan dan tindakan memboikot, dan menyebabkan filem pujian ramai seperti “Ola Bola” dan “Jagat” tidak dapat bersaing dengan filem Melayu lain yang dicalonkan dalam kategori utama.

FFM dan Perbadanan Filem Nasional Malaysia (Finas) berkata dialog filem tempatan yang mahu bersaing dengan filem bahasa Melayu perlu sekurang-kurangnya 70% kandungan bahasa Melayu.

Pengritik mendesak dasar itu diubah dengan mendakwa seni mempunyai bahasa tersendiri dan harus dinilai atas dasar itu.

Ibrahim melahirkan kekesalan kerana “orang Melayu yang bergiat dalam bidang seni mahu sama ratakan segalanya dalam soal saingan”.

“Tapi bila kaum lain bolot hak mereka seperti ‘air time’ atau slot di TV, mereka menjerit menuduh mereka dianaktirikan,” katanya.

FFM akan diadakan pada 3 September di Dewan Plenary, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

Pautan:

Yusof Haslam: Filem mesti Melayu, kecuali pak menteri kata…