Justo dapat pengampunan diraja, hukuman dikurangkan 1/3

Andre-Xavier-Justo

BANGKOK: Warga Switzerland, Andre Xavier Justo yang dijatuhi hukuman penjara tiga tahun kerana cuba memeras ugut bekas majikannya, PetroSaudi International yang dikaitkan dengan 1MDB, mendapat pengampunan diraja.

Menurut peguam, Worrasit Piriyawiboon, anak guamnya mendapat pengampunan sempena ulang tahun ke-70 Raja Bhumibol Adulyadej menduduki takhta dan ulang tahun kelahiran Permaisuri Sirikit.

“Pengumuman mengenai pengampunan diraja disiarkan dalam laman web Warta Diraja malam tadi. Saya menghubungi pegawai pemulihan dan beliau mengesahkan nama Justo berada dalam senarai,” katanya kepada Bernama hari ini.

Pengampunan itu bermakna Justo yang disifatkan sebagai “seorang banduan sangat baik” oleh pihak berkuasa penjara Thailand akan menjalani hukuman penjara singkat, kerana hukuman penjara ke atasnya dikurangkan sebanyak satu pertiga.

Worrasit berkata, Justo sudah menjalani hukuman penjara setahun daripada tempoh tiga tahun, selepas didapati bersalah oleh Mahkamah Jenayah Bangkok Selatan tahun lepas.

Selepas diberi pengampunan diraja, dia hanya akan menjalani hukuman penjara untuk setahun lagi.

Beliau berkata, bekas eksekutif IT berusia 49 tahun itu mungkin menjalani baki hukuman penjara secara parol atau dipindahkan ke penjara lain bergantung kepada syarat di bawah pengampunan diraja.

Justo didapati bersalah pada 17 Ogos tahun lalu, selepas dia mengaku cuba memeras ugut PetroSaudi International yang mempunyai kaitan dengan 1MDB.

Mahkamah mengarahkan Justo menjalani hukuman penjara bermula 22 Jun 2015, iaitu hari dia ditangkap di pulau peranginan Koh Samui, selatan Thailand.

Dia dituduh mengikut Seksyen 338 Kanun Keseksaan Thailand yang memperuntukkan hukuman penjara satu hingga 10 tahun dan denda 2,000 baht (RM222) hingga 20,000 baht (RM2,223).