Khairy pun bantah FFM asingkan filem bukan Melayu

khairy

KUALA LUMPUR: Bahasa kebangsaan tidak akan tergugat hanya kerana pengasingan kategori bahasa dalam Festival Filem Malaysia (FFM) ke-28, kata Ketua Pemuda Barisan Nasional (BN), Khairy Jamaluddin.

Menurutnya, selagi filem itu membawa elemen budaya tempatan ia tidak perlu dipisahkan atas nama bahasa.

“Tidak perlu ada pelbagai kategori, cukup dengan satu kategori sahaja. Inilah kita katakan keindahan Malaysia yang mempunyai pelbagai bahasa.

“Ada yang kata filem tempatan harus ada kategori bahasa. Kita harus hargai filem seperti ‘Ola Bola’ dan ‘Jagat’, mereka juga filem tempatan,” katanya kepada wartawan hari ini.

Khairy yang juga menteri belia dan sukan berkata, tindakan FFM mengasingkan filem mengikut pelbagai kategori hanya memisahkan masyarakat.

“Pemuda BN berdiri tegak menyokong 1Malaysia, oleh itu berpendirian satu kategori lebih baik dan dialu-alukan,” katanya.

Semalam, pelakon dan penerbit Datuk Yusof Haslam berkata filem Malaysia perlu mencerminkan identiti negara dan oleh itu harus akur kepada dasar negara iaitu berbahasa Melayu, melainkan dasar itu diubah.

“Ini tidak ada kompromi, kecuali kalau pihak atasan, menteri atau perdana menteri yang minta perkara itu ditukar, ‘open’,” kata Yusof, yang juga presiden Persatuan Penerbit Filem Malaysia, penganjur bersama FFM.

Pengasingan filem berdasarkan bahasa diperkenalkan sejak 2011. FFM mengasingkan dua lagi kategori pada tahun ini iaitu Pengarah Terbaik dan Lakon Layar Terbaik kepada bahasa Melayu dan bukan bahasa Melayu.

Tindakan ini mengundang kritikan dan menyebabkan filem pujian ramai seperti “Ola Bola” dan “Jagat” tidak dapat bersaing dengan filem bahasa Melayu.

Ia mengundang kecaman pelbagai pihak, termasuk boikot dan pemulangan balik anugerah tahun lalu.