Mengapa pilih orang asing, tanya bekas CEO MAS

Tan-Sri-Abdul-Aziz-Abdul-RaPETALING JAYA: Malaysia Airlines Bhd (MAB) harus mencontohi syarikat penerbangan Malindo Air dan AirAsia Bhd yang melantik rakyat tempatan sebagai pegawai tertinggi.

Bekas CEO Malaysia Airlines Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman berkata rakyat Malaysia sendiri sebenarnya mampu dan layak untuk memegang jawatan tertinggi dan bukannya diberikan kepada orang luar.

“Saya berpendapat, tidak perlu pegawai asing seorang pun, ramai orang Malaysia daripada pelbagai bangsa boleh menjalankan tugas itu.

“Apa guna kita ambil orang asing sedangkan ramai orang kita boleh buat, cuba kita lihat Malindo Air dan AirAsia,” katanya ketika dihubungi FMT, hari ini.

Aziz berkata demikian ketika mengulas kenyataan Ketua Pegawai Eksekutif MAB Peter Bellew yang mengumumkan pelantikan Arved von zur Muehlen sebagai ketua pegawai komersial (CCO).

Katanya, pekerja tempatan sering mengadu kepadanya kerana tidak berpuas hati dengan sikap pegawai tertinggi asing.

“Ramai kakitangan tempatan tidak puas hati dengan pegawai asing. Mereka tidak jalankan tugas dengan betul. Mereka tidak tahu suasana dan budaya masyarakat kita,” katanya.

Aziz berkata Arved bukanlah individu terakhir yang akan dibawa masuk MAB, sebaliknya terdapat 14 lagi pegawai tertinggi warganegara asing akan dipanggil.

“Saya berharap kerajaan, Khazanah dan MAB mengkaji semula perkara ini dan tukarkan pegawai asing dengan pegawai tempatan,” katanya.

Bellew berkata Arved akan memainkan peranan penting dalam fasa pemulihan syarikat yang berikutnya dengan memberi tumpuan kepada pemulihan kedudukan MAB sebagai syarikat penerbangan antarabangsa utama.

Katanya, Arved juga akan turut serta membangunkan perkhidmatan menumpukan pelanggan inovatif bagi syarikat penerbangan.

Arved sebelum ini ialah naib presiden kanan operasi rangkaian komersial Qatar Airways.

Arved yang memiliki ijazah dalam bidang ekonomi dari Johann Wolfgang-Goethe University Frankfurt, mengambil alih jawatan itu daripada CCO sekarang, Paul Simmons yang akan meninggalkan syarikat itu pada pertengahan September 2016.