Modi berdepan kumpulan Hindu serang orang Islam makan lembu

Narendra-Modi_lembu_600

PETALING JAYA: Perdana Menteri India Narendra Modi mula menjauhkan dirinya dari kumpulan Hindu yang menyerang penduduk Islam kerana menyembelih lembu, haiwan yang dianggap suci penganut Hindu.

Modi berkata sebahagian besar daripada pertubuhan itu tidak sah dan bukan sukarelawan yang melindungi lembu, tetapi kumpulan “anti sosial” menyamar menggunakan nama tersebut.

“Saya sangat marah dengan mereka. Saya pernah melihat orang yang menikmati aktiviti anti sosial sepanjang malam, tetapi menggunakan nama pelindung lembu di siang hari,” katanya dipetik New York Times.

Modi menggesa kerajaan negeri mengesan 70% hingga 80% daripada kumpulan itu, walaupun tiada tindakan undang-undang diarah diambil terhadap mereka.

Parti BJP sedang berusaha mengawal kesan politik daripada serangan kejam kumpulan pelindung lembu terhadap empat Dalit, komuniti kasta rendah di India, di negeri kelahiran Modi, Gujarat.

Serangan yang dirakam dalam video diedarkan secara meluas melalui media sosial, merumitkan lagi usaha menarik pengundi Dalit bagi pilihan raya negeri di Punjab dan Uttar Pradesh yang akan berlangsung tidak lama lagi.

Di kubu kuat Modi di Gujarat, penggantinya Ketua Menteri Anandiben Patel meletak jawatan minggu lepas selepas tekanan daripada protes kumpulan Dalit.

Kenyataan Modi membidas keganasan sangat ketara memandangkan beliau jarang bercakap mengenainya.

Dalam satu insiden, seorang lelaki Islam, Mohammad Ikhlaq, dipukul kerana menyembelih dan makan daging lembu.

Modi mengambil masa tiga minggu sebelum mengulas isu itu.

Laporan serangan kumpulan pelindung lembu semakin kerap pada tahun lalu dengan empat pembunuhan dilaporkan dalam tempoh enam minggu.

Modi menambah, penghormatan Hindu terhadap lembu dimanipulasi musuh mereka menggunakan metafora purba.

Katanya, pada zaman dahulu, raja Islam menggunakan strategi menempatkan lembu di hadapan tentera melawan Hindu.

“Ini akan menghalang tentera Hindu menggunakan senjata ke atas lembu dan situasi ini digunakan untuk mengalahkan mereka,” katanya.