Majoriti tenaga kerja di Sarawak ialah anak watan, kata Petronas

petronas-sarawak-1

KUALA LUMPUR: Petronas menjangkakan majoriti pekerja yang diperlukan untuk memenuhi permintaan tenaga kerja baharunya terdiri daripada rakyat Sarawak.

Bagaimanapun, beberapa jawatan dijangka diisi pekerja berpengalaman yang mungkin merangkumi rakyat negeri lain.

Syarikat minyak negara itu berkata, keputusan kerajaan Sarawak menggantung permohonan permit kerja baharu untuk kakitangannya dari luar Sarawak berpunca daripada salah faham terhadap penstrukturan semula Petronas.

Katanya, penstrukturan semula yang dilakukan di setiap peringkat itu menimbulkan tanggapan salah yang kakitangan dari Sarawak “terkesan secara tidak adil”.

Sehubungan itu, beberapa perbincangan dan taklimat yang diadakan dengan pegawai kerajaan negeri di setiap peringkat, susulan penstrukturan semula itu akan diteruskan, termasuk dengan Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Seri Douglas Uggah Embas.

Petronas dalam satu kenyataan hari ini memberi jaminan Sarawak kekal sebagai negeri pelaburan utamanya, di mana keperluan tenaga kerja akan terus berkembang.

“Petronas seperti syarikat minyak dan gas lain di seluruh dunia akan terus menilai strategi perniagaan dan keperluan tenaga kerja untuk terus efisien dan lestari, supaya lebih anjal dan fokus bagi menghadapi landskap industri semasa dan akan datang,” kata syarikat itu.

Pada 4 Ogos lalu, sebuah badan tidak berkeuntungan Sarawak, Suarah Petroleum Group (SPG) mengecam tindakan Petronas memansuhkan 29 jawatan tetap sehingga menyebabkan 13 anak tempatan yang berpengalaman diberhentikan kerja.

Ia disusuli pengumuman Douglas yang kerajaan negeri membekukan semua permohonan permit kerja kakitangan Petronas dari luar Sarawak seperti dicadangkan Pengerusi DAP negeri, Chong Chieng Jen.