1MDB: Kerajaan perlu jawab mereka bersalah atau tidak, kata ahli PAC BN

PETALING JAYA: Kerajaan perlu memutuskan samada orang yang dinyatakan dalam laporan Kawalan Pengurusan Tadbir Urus 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dibentangkan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) lima bulan lalu bersalah atau tidak.

Ahli PAC Barisan Nasional Datuk Abdul Aziz Sheikh Fadzir berkata kerajaan tidak boleh berdiam diri kerana rakyat mahukan jawapan.

“Rakyat masih ternanti-nanti keputusan kerajaan daripada polis yang menyiasat 1MDB dan AGC (Jabatan Peguam Negara) yang boleh menentukan sama ada mereka yang dinyatakan dalam laporan PAC itu melakukan kesalahan atau tidak.

“Kerajaan perlu membuat keputusan segera kerana perkara ini sudah terlalu lama berlarutan sehingga menimbulkan persepsi negatif terhadap kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Aziz mengulas desakan Ahli PAC Pakatan Harapan supaya jawatankuasa membuka semula siasatan terhadap 1MDB, susulan aduan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ), yang mahu menyita aset-aset “yang terbabit atau boleh dikesan kepada suatu konspirasi antarabangsa untuk mengubah wang yang dilesapkan” daripada syarikat milik kerajaan itu.

Ahli Parlimen Tony Pua semalam berkata PAC perlu mengenalpasti identiti ‘Malaysian Official 1’ (MO1) yang disebut dalam aduan itu.

Menurut Tony, aduan DoJ menyatakan sejumlah AS$681 juta dimasukkan ke akaun peribadi MO1.

Menurut Aziz, pendesak sebenarnya sudah tersalah terka.

“Keputusan untuk membuka semula siasatan PAC terhadap 1MDB tidak akan membawa kepada sebarang penyelesaian konkrit kerana kuasa menyiasat serta menentukan samada wujud kes atau tidak adalah dalam bidang kuasa eksekutif iaitu polis dan AGC,” jelasnya.

Di awal kenyataannya, Aziz berkata kerajaan selaku badan eksekutif perlu segera mengambil tindakan terhadap individu bertanggungjawab seperti disyorkan dalam laporan PAC April lalu.

“Di pihak PAC, kita sudah menyatakan beberapa isu utama yang gagal dihuraikan sepanjang prosiding 1MDB sejak Mei 2015.

“la termasuk beberapa transaksi yang mencurigakan seperti pembayaran US$700 juta daripada 1MDB terus ke akaun pemegang saham syarikat yang dikatakan tidak mempunyai kaitan dengan PetroSaudi,” ujarnya.