2 beranak ditahan tanam 800 pokok ketum di tanah Felda

ditahan-ketum

JEMPOL: Bapa dan seorang anak lelakinya hari ini ditahan bagi membantu siasatan berhubung penemuan ladang ketum dan tempat memproses air ketum di sebuah ladang di tanah rizab Felda Lui Selatan 2.

Ketua Polis daerah Jempol, Superintenden Noorzainy Mohd Noor berkata, dua beranak berusia 53 dan 36 tahun itu ditahan di lokasi penanaman ketum kira-kira 9 pagi tadi oleh sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Jempol.

Katanya, isteri lelaki itu ditahan dalam serbuan di sebuah khemah di perumahan Felda Lui pada Julai lalu, selepas dipercayai memproses air ketum.

“Dalam serbuan ini, kami temui ladang ketum yang mengandungi pokok ketum yang sudah besar kira-kira 300 batang pokok, manakala ketum yang baru disemai dalam 500 anak pokok, iaitu ketum jambu dan ketum merah.

“Mereka dipercayai menanam ketum sejak setahun lalu dengan menjual daun ketum pada harga RM25 sekilogram dengan keuntungan sebulan sekitar RM500,” katanya kepada pemberita hari ini.

Noorzainy berkata, selain menanam pokok ketum di dalam kawasan ladang seluas 0.2 hektar itu, mereka turut dipercayai memproses daun tersebut di ladang berkenaan, selepas polis menemui ramuan memproses air ketum seperti ubat batuk, periuk dan air gas.

“Polis juga percaya penanaman pokok ini adalah bertujuan untuk perniagaan, sama ada pasaran tempatan dan luar, termasuk Pahang dan Johor Bahru.

“Kedua beranak ini ditahan dan disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952,” katanya.