Martabatkan BM tetapi mengapa bahasa pasar, soal pemenang FFM

Liew-Seng-Tat-1

KUALA LUMPUR: Penggunaan bahasa pasar yang melampau tidak menepati objektif memartabatkan bahasa Melayu, alasan yang diberi dalam penganugerahan filem, kata pengarah filem, Liew Seng Tat.

“Dalam filem samseng berbahasa Melayu pun, mereka guna bahasa pasar. Itu tak betul,” kata pengarah di sebalik filem “Lelaki Harapan Dunia” itu kepada FMT.

“Anda sebenarnya persenda bahasa itu, bukan menonjolkannya.”

Beliau menjawab Persatuan Pengeluar Filem Malaysia (PFM) yang berkata bahasa Melayu perlu dipelihara kerana ia merupakan identiti negara.

Liew yang memenangi anugerah filem terbaik Festival Filem Malaysia (FFM) tahun lalu itu berkata, mencari kesalahan bahasa yang digunakan filem tempatan sesuatu yang sangat teknikal dan menyekat kreativiti pembikinan filem, kerana Malaysia sarat dengan bahasa dan laras yang pelbagai.

“Kita sangat berbilang budaya. Pengungkapan filem perlulah mencerminkan masyarakat kita, khususnya bahasa yang kita gunakan. Tetapi tak kena pula jika kamu meratakan bahasa wayang seluruhnya. Akan jadi kekangan nanti.

“Wajar kita guna alasan itu dalam pembikinan filem kenegaraan atau propaganda. Selain dua jenis filem itu, wayang perlu bebas.”

Beliau mengulas keputusan tidak melayakkan Ola Bola ke kategori Filem Terbaik FFM, kerana tidak memenuhi keperluan 70% dialog berbahasa Melayu.

Keputusan itu menerima kutukan pelbagai pihak, dengan beberapa pemain industri filem bertindak memboikot malah ada yang memulangkan semula anugerah tahun lalu.

Liew berkata Ola Bola yang mengandungi 50% hingga 60% bahasa Melayu adalah contoh filem Malaysia.

“Perhatikan keseluruhan filem itu dan kamu akan dapati ia filem Malaysia yang paling muhibah. Ada sesuatu yang tidak kena jika itu tidak boleh wakili Malaysia.”

Liew turut berkata file “Lelaki Harapan Dunia” berjaya mewujudkan wadah membincangkan sensitiviti agama dan budaya.

“Saya dikecam sebagai rasis tetapi atas sebab itu juga orang mulai bersuara dan kata mereka tak lihat filem itu sebagai rasis.

“Oleh itu, dialog seperti ini perlu kerana apa yang berlaku dalam FFM mutakhir ini.

“Saya lega melihat orang mula bercakap mengenainya kerana kebanyakan orang sekadar menepis apa yang sedang berlaku, dan anggap tidak ada yang tidak kena padanya.”

Lelaki Harapan Dunia terbitan Everything Film Sdn Bhd dan arahan Liew merangkul anugerah Filem Terbaik, Pengarah Terbaik, Pelakon Kanak-Kanak Terbaik dan Cerita Asal Terbaik pada FFM tahun lalu.

Selaku rakyat Malaysia berbangsa Cina yang mengarahkan filem Melayu, Liew menerima kecaman pihak tertentu yang menuduhnya “anti-Melayu”.

“Ada segelintir penonton rasa gusar ketika filem ditayangkan. Sebab itu, saya dimarahi oleh orang yang kata saya tak berhak bikin filem Melayu sebab saya bukan orang Melayu.

“Semua cari kesalahan seolah-olah ia memang salah. Bukan itu ceritanya. Filem itu menceritakan tradisi ‘Angkat Rumah’ orang-orang Melayu, sebab itulah ia dalam bahasa Melayu.”

Babak korban lembu dalam filem tersebut, bertujuan menunjukkan perayaan dan kemasyarakatan Hari Raya Korban, dikecam segelintir pihak kerana disalah erti sebagai menghina.

“Bukan niat saya memperolokkan agama. Bila saya dikritik, ramai Melayu beragama Islam bersuara dan kata tidak ada yang salah. Apa yang ditunjukkan memang itulah yang berlaku.”

Pengalaman menghasilkan filem Melayu sangat berbaloi, katanya, kerana pelbagai kaum terlibat menghasilkan sebuah filem Malaysia.

“Bila kamu usahakan sesuatu, pasti ada yang kritik sama ada baik atau buruk.

“Apa yang saya mahu adalah dialog dan maklum balas, supaya saya boleh lihat kembali hasil kerja saya dan belajar darinya.”