Bola Selangor terumbang-ambing jika rombakan FAS tiada hala tuju

selangor-fa

PETALING JAYA: Rombakan besar-besaran yang bakal dilakukan Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) tidak bermakna sekiranya ia masih menggunakan pendekatan lama, menurut Program Pembangunan Bola Sepak Negara (PPBN).

Pengarah Kanan PPBN Safirul Azli Abu Bakar berkata FAS seharusnya mempunyai perancangan jangka masa panjang serta membuat penjelasan secara terperinci hala tuju bola sepak Selangor, supaya memberi keyakinan kepada penyokong tidak memberontak.

“Siapa sahaja mengetuai FAS perubahan ini kena ada obkjektif, kena letakkan KPI (petunjuk penilaian prestasi), barulah peminat boleh menilai,” Safirul memberitahu FMT.

“FAS juga kena jelaskan secara teperinci ke mana bola sepak Selangor selepas ini dalam masa 10 tahun atau lebih.

“Peminat resah selama ini kerana merasakan pasukan tidak ada hala tuju, lebih-lebih lagi Selangor kaya dengan tradisi kemenangan, selepas tak menang banyak mereka tidak lagi dianggap pasukan gergasi yang menyebabkan peminat mempunyai harapan tinggi untuk melihat perubahan bola sepak Selangor,” katanya.

Selain faktor kewangan, Selangor perlu membuat pembangunan jangka panjang di peringkat akar umbi dan memastikan pasukan setanding dengan prestasi pasukan terkuat negara seperti JDT, kata Safirul.

Ketua jurulatih pasukan Selangor Zainal Abidin Hassan baru-baru ini dipecat selepas empat kekalahan berturut-turut dalam saingan Liga Malaysia musim ini.

Ia disusuli kesediaan Setiausaha Agung FAS, Rosman Mohd Ibrahim dan Bendahari Kehormat,Datuk S Sivasundram meletak jawatan dalam badan induk bola sepak negeri itu.

Presiden FAS, yang juga Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, berhasrat melakukan rombakan dan perubahan terhadap persatuan serta pasukan negeri itu.

Semantara itu, Presiden Persatuan Jurulatih Bola Sepak Malaysia (PJBSM), B Sathianathan menyambut baik usaha FAS dan berkata ia mempunyai kuasa menghukum sesiapa sahaja sekiranya gagal mencapai sasaran.

“Itu memang biasa, sebagai jurulatih kita kena hadapi, itulah risiko dalam perkejaan bola sepak, senang jadi pengurus, senang jadi pegawai tetapi tidak bagi jurulatih kerana tanggungjawab besar.

“Apa yang dilakukan FAS bagus untuk masa depan bola negeri itu, memang Selangor harapan mereka tinggi ditambah pula mereka menang piala Malaysia tahun lepas, tetapi apa pun FAS kena pastikan kemelut yang berlaku ini sehingga menjejaskan pemain untuk berpindah ke pasukan lain,” katanya.