DAP Sarawak desak batal permit kerja jawatan tinggi Petronas

Chong-Chieng-Jen1

PETALING JAYA: Kerajaan Sarawak perlu susuli tindakan pembekuan permohonan permit baharu kakitangan Petronas, kata Pengerusi DAP negeri Chong Chieng Jen.

Mendakwa syarikat minyak dan gas negara menangguh janji dua tahun lalu untuk memberi lebih banyak peluang pekerjaan kepada anak watan dalam operasinya di Sarawak, Chieng Jen mencadangkan sudah sampai masanya untuk menarik balik permit kerja kepada pengurusan tertinggi dan pertengahan Petronas.

“Kerajaan Sarawak perlu memulakan pembatalan permit-permit kerja sedia ada untuk pengurusan tertinggi dan pertengahan Petronas, bagi mencapai sasaran 70% anak watan di peringkat itu.

“Keadaan ini akan menguji keutamaan kerajaan Sarawak, samada ia mendahulukan kepentingan anak watan, atau kemahuan Putrajaya dan Petronas,” kata Ahli Parlimen Bandar Kuching itu.

Beliau menambah isu memberi peluang pekerjaan kepada anak watan sudah dipersetujui antara Petronas dan Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem pada November 2014.

“Adenan melaporkan persetujuan itu dalam sidang Dewan Undangan Negeri Sarawak di bulan yang sama,” kata Chien Jen.

“Bagaimanapun, lebih 20 bulan sudah berlalu, sekadar 39% jawatan pengurusan dan 46% jawatan pengurusan pertengahan dalam operasi Petronas di Sarawak diisi anak watan.”

Merujuk kenyataan daripada Petronas semalam yang menyatakan “kumpulan yang terdiri daripada kakitangan berkelayakan, terlatih dan berdedikasi – tanpa mengira asal mereka” penting untuk operasinya di Sarawak, Chieng Jen menganggap ia alasan untuk mempertahankan dasar pekerjaan, yang tidak menguntungkan rakyat Sarawak.

“Henti beri alasan dan ambil langkah segera membetulkan komposisi kakitangan yang berat sebelah dalam operasi Petronas di Sarawak.

“Rakyat Sarawak yang berkelayakan, terlatih dan berdedikasi untuk mengisi pengurusan peringkat tertinggi dan pertengahan dalam operasi Petronas Sarawak adalah lebih dari mencukupi. Tetapi, kami tidak diberi peluang di Petronas,” kata Chien Jen.

Adun Kota Sentosa menambah kenyataan Petronas seolah menandakan syarikat itu bertegas mempertahankan komposisi kakitangan di peringkat jawatan pengurusan dan pengurusan pertengahan di Sarawak sekarang ini.

“Kita akan tengok apakah kerajaan negeri akan akur kepada Petronas dan kuasa di Putrajaya,” katanya.

Jangan hina Sarawak, kata PBB kepada Petronas