Dr Mahathir di IJN stabil, tidak kritikal

mahathir

PETALING JAYA: Keadaan Tun Dr Mahathir Mohamad dilaporkan stabil selepas dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN) di Kuala Lumpur semalam.

Pegawai Komunikasi IJN Nur Suzilawati Idris berkata bekas perdana menteri itu tidak berada dalam keadaan kritikal dan dimasukkan ke IJN bagi mendapatkan rawatan susulan mengalami masalah jangkitan di dada.

“Buat masa ini doktor tidak ada membuat sebarang kenyataan lagi mengenai keadaan Dr Mahathir. Keadaan Dr Mahathir sama seperti semalam.

“Beliau bukan dalam keadaan kritikal. Hanya mendapatkan rawatan selepas didapati mengalami masalah jangkitan di dada ,” katanya kepada FMT.

Menerusi kenyataan yang dikeluarkan IJN, Dr Mahathir dimasukkan ke wad atas nasihat pasukan perubatan dan hanya keluarga terdekat dibenarkan melawat.

Sebelum ini Dr Mahathir pernah menjalani pembedahan pintasan jantung kali pertama pada 24 Januari 1989 dan kali kedua pada 2007.

Suzilawati berkata IJN akan mengeluarkan kenyataan berhubung keadaan Dr Mahathir selepas mendapat maklumat terkini daripada doktor yang merawatnya.

“Kita akan maklumkan dalam satu kenyataan mengenai keadaan Dr Mahathir,” katanya.