Gambar palsu Najib: Mahkamah tetap 30 Sept dengar permohonan Sivarasa

sivarasa-trial

KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen menetapkan 30 Sept untuk mendengar permohonan Anggota Parlimen Subang R.Sivarasa bagi merujuk isu perlembagaan ke Mahkamah Tinggi, berkaitan pertuduhan memuat naik muka hadapan palsu majalah Time membabitkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, di laman Facebooknya.

Hakim Zainal L. Salleh menetapkan tarikh itu selepas kes itu disebut di hadapannya hari ini.

Pendakwaan dikendalikan Ketua Pendakwaan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) Mohd Sophian Zakaria manakala peguam Melissa Sasidaran mewakili Sivarasa.

Sivarasa mengemukakan permohonan mengikut Seksyen 30 Akta Mahkamah Kehakiman 1964, untuk mencabar sama ada Seksyen 233(1)(a) dan 233(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 adalah bercanggah dengan Perkara 8 dan 10(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

Pada 15 April lalu, Sivarasa, 60, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memuat naik muka hadapan palsu majalah Time membabitkan Najib di laman Facebooknya, Mac lepas.

Dia menghadapi dua pertuduhan menggunakan perkhidmatan aplikasi melalui laman akaun Facebook ‘Sivarasa Rasiah’ dalam dua pautan iaitu secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi yang palsu sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain.

Sivarasa yang juga seorang peguam itu didakwa melakukan kedua-dua kesalahan itu pada 7.41 malam, 22 Mac lepas dan 4.59 pagi, 23 Mac lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya dan juga boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan, jika sabit kesalahan.

Kedua-dua pautan itu dibaca di No A-1110, Tingkat 11, Menara A Pandan Kapital, Jalan Pandan Utama, Pandan Indah di sini pada 9.20 pagi hingga 9.30 pagi, 23 Mac lepas.

Dalam prosiding hari ini, Sivarasa tidak hadir di mahkamah dan Melissa berkata anak guamnya memohon pengecualian kehadirannya atas alasan membawa isteri ke hospital.