Hannah alu-alukan Thangeswary dilantik speaker wanita pertama Perak

hannah

PETALING JAYA: Speaker DUN Selangor Hannah Yeoh berkata beliau berbangga apabila Perak, negeri yang ditadbir BN memilih seorang wanita sebagai speaker, langkah yang sebelum ini diambil kerajaan Pakatan Harapan (PH) di Selangor.

“Reformasi itu hanya tercapai selepas politik baru melanda pada 2008. Bagus apabila melihat negeri ditadbir BN mengikut langkah kita. Ini menunjukkan PH berani melangkah ke depan,” katanya ketika dihubungi FMT, hari ini.

Hannah yang juga Adun Subang Jaya menjadi wanita pertama dilantik sebagai speaker selepas pakatan pembangkang mengambil alih pemerintahan di Selangor pada 2013.

Semalam, bekas ketua Wanita MIC Perak S. Thangeswary dipilih sebagai Yang Dipertua DUN Perak baharu bagi menggantikan Datuk Seri S.K Devamany yang meletak jawatan.

Hannah berkata beliau berharap Thangeswary menjalankan tugasnya dengan adil dan teratur dan tidak seharusnya gentar melaksanakan reformasi.

“Saya ucapkan tahniah kepada beliau. Semoga beliau dapat menjalankan tugas dengan adil dan teratur.

“Hanya satu ‘friendly’ nasihat untuknya, jangan takut untuk melaksanakan reformasi. Ia sangat memuaskan,” katanya.

Pemilihan Thangeswary sebagai wanita pertama menjadi speaker DUN Perak dibuat seleas memperoleh 30 undi berbanding calon pembangkang yang juga Ali Parlimen Batu Gajah, V. Sivakumar yang mendapat 24 undi, manakala empat lagi berkecuali dalam pengundian yang dijalankan hari ini.

Terdahulu, pencalonan Thangeswary dibuat Datuk Saarani Mohamad (BN-Kota Tampan) dan disokong Datuk Dr Mah Hang Soon (BN-Chenderiang) sebelum bermulanya Mesyuarat Kedua, Penggal Keempat, persidangan DUN Perak ke-13.

Kerusi Speaker DUN Perak kosong selepas Devamany meletak jawatan susulan pelantikannya sebagai timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri dalam rombakan Kabinet pada 27 Jun lepas.

Thanggeswary, wanita pertama dilantik Speaker DUN Perak