Khairuddin fail saman DoJ sebagai afidavit lanjutan

Khairuddin

KUALA LUMPUR: Bekas naib ketua Umno Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan memasukkan tuntutan saman dikemukakan Jabatan Kehakiman (DoJ) Amerika Syarikat terhadap sesetengah individu dalam afidavit lanjutan, dalam usaha mencabar keputusan peguam negara baru-baru ini.

“Kami memfailkan afidavit lanjutannya untuk mendapatkan kebenaran membuat permohonan, dan memasukkan 136 muka surat saman AS berkenaan,” kata peguam Haniff Khatri Abdulla yang mewakili Khairuddin.

“Ia juga ada kaitan dengan kenyataan ‘tiada pendakwaan jenayah’ peguam negara terhadap derma RM2.6 bilion, SRC International dan 1MDB,” katanya.

Khairuddin dan peguam Matthias Chang didakwa atas pertuduhan “mensabotaj” perbankan dan perkhidmatan kewangan Malaysia.

Pertuduhan dikenakan di bawah Seksyen 124L Kanun Keseksaan kerana mensabotaj, dibaca bersama dengan Seksyen 34 akta yang sama.

Mereka dikatakan melakukan “tindakan” itu di beberapa negara termasuk Perancis, England, Switzerland, Hong Kong dan Singapura antara 28 Jun hingga 26 Ogos tahun lalu.

Pada 18 November 2015, Mahkamah Tinggi memutuskan pendakwaan cubaan mensabotaj tidak termasuk dalam lingkungan kesalahan Akta Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma). Mereka dibebaskan dengan ikat jamin sehingga selesai permohonan rayuan pihak pendakwa.

DoJ memfailkan saman itu di mahkamah di California, memohon untuk menyita dan mendapatkan semula lebih AS$3.5 bilion (RM14.27 bilion) dalam bentuk aset yang dikaitkan dengan konspirasi antarabangsa penyelewengan dana daripada 1MDB.

Peguam negara AS dilaporkan sebagai berkata kesalahan itu dilakukan dalam tempoh lebih empat tahun dan membabitkan ramai individu. Mereka termasuk pegawai Malaysia dan sekutu mereka, yang dikatakan berkonspirasi untuk secara salah mengalihkan berbilion dolar dari 1MDB.

Anak tiri kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, Riza Aziz yang juga seorang penerbit filem, ahli perniagaan Low Taek Jho dan pegawai dari Abu Dhabi, Khadem al-Qubaisi dan Mohamed Ahmed Badawy Al-Husseiny dinamakan dalam saman DoJ.

Saman itu menyatakan dana yang diselewengkan daripada 1MDB dipindahkan kepada pengasas bersama Petrosaudi, yang ada kerjasama dengan 1MDB, dan kemudiannya ke pegawai berpangkat tinggi dalam kerajaan Malaysia.

Dalam perkara berasingan, Haniff berkata Mahkamah Tinggi akan mendengar permohonan setiausaha akhbar kepada Najib, Datuk Tengku Sarifuddin Tengku Ahmad untuk membatalkan saman bekas menteri besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahathir pada 11 Oktober.

“Tengku Sarifuddin mahu membatalkan tuntutan saman itu. Katanya ia tidak mempunyai sebarang kausa tindakan munasabah, mengaibkan, remeh dan penyalahgunaan proses mahkamah,” katanya.

Mukhriz menyaman Sarifuddin susulan empat kenyataan media yang dibuat setiausaha akhbar itu.