Mufti Kelantan cadang papan iklan, roadshow lawan IS

mufti-kelantanKUALA LUMPUR: Mufti Kelantan Datuk Mohamad Shukri Mohamad mencadangkan pihak berkuasa dan badan bukan kerajaan (NGO) membuat iklan papan tanda dan melakukan jerayawara termasuk di kampung dan pedalaman bagi menerangkan kesan negatif kegiatan militan IS.

Menurutnya, langkah itu bagi menangkis tindakan kumpulan militan IS yang semakin giat dan agresif dalam menjalankan promosi bagi mendapatkan sokongan kepada kumpulan itu dengan menggunakan pelbagai medium.

“Kalau sebelum ini mereka mengajak masyarakat menyertai mereka melalui media sosial seperti Facebook dan Twitter, tetapi kini mereka telah mula menerbitkan majalah yang mampu menarik perhatian masyarakat terutamanya golongan muda untuk menyertai mereka,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Shukri mengajak pelbagai pihak berganding bahu menangani penyebaran majalah digital propaganda IS yang kandungannya dilihat mempunyai tarikan tersendiri untuk mempengaruhi masyarakat.

Beliau mengulas pendedahan penyebaran majalah digital propaganda IS yang diterjemahkan dalam versi bahasa Melayu yang disasarkan kepada masyarakat Asia Tenggara termasuk Malaysia.

Shukri berkata dalam hal ini, pihak polis, pihak berkuasa agama serta NGO boleh bekerjasama dalam mencari pendekatan secara menyeluruh dalam
menangani isu ini.

“Usaha yang lebih perlu diketengahkan dalam hal ini kerana kita tidak mahu anak muda kita terus hilang pedoman dengan terlibat kumpulan pengganas ini,” katanya.

Sementara itu, pensyarah Pengajian Islam dan Sains Politik, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia Dr Ahmad El Muhammady berpendapat, majalah propaganda versi bahasa Melayu belum mendapat sambutan dan ia hanya dibaca oleh kumpulan kecil sahaja.

“Walaupun tidak ramai yang mengaksesnya, tetapi tidak mustahil ia akan mendatangkan kesan negatif sekiranya tiada tindakan yang holistik dalam memeranginya.

“Ini kerana ia mampu mempengaruhi minda pembaca secara halus dan senyap melalui gaya penulisan dan imej yang dipaparkan. Dan lebih membimbangkan, ia membawa pembaca untuk melakukan tindakan yang lebih radikal kononnya bagi menegakkan agama,” katanya.

Ahmad berkata semua pihak harus memainkan peranan bagi memastikan permasalahan ini tidak berpanjangan dan diuruskan secara berkesan.

“Masyarakat dan pihak berkuasa harus bekerjasama dalam mengatasi isu ini, orang awam boleh melaporkan kepada polis dan jabatan agama sekiranya mengetahui mengenai aktiviti kumpulan IS walaupun ia masih di peringkat awal,” katanya.