Penyokong Perak kesal ‘cemuhan’ TMJ

tmj_perak_bola_600

PETALING JAYA: Kelab Penyokong Bola Sepak Perak kesal dengan kritikan lantang Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim terhadap pasukan bola sepak negeri lain.

“Biar TMJ nak kata apa, katalah. Dia ada kuasa, banyak duit, tak apalah. Kita tunggu laporan dari Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM). Siapa yang benar dan siapa yang salah,” kata pengerusinya Mohd Jamil Osman.

“Namun kita sedihlah, beliau (TMJ) kata macam itu. Saya anak jati Perak dan kita ada maruah kita,” katanya kepada FMT.

TMJ sebelum ini berkata pasukan Johor Darul Ta’zim dan pasukan lain akan menghadapi masalah setiap kali berkunjung ke Perak.

Ia berikutan kekecohan membabitkan penyokong Perak dan JDT selepas perlawanan Liga Super di Stadium Perak baru-baru ini.

Jamil berkata dia sedih penyokong Perak dipersalahkan berhubung insiden itu.

Mengulas lanjut, penyokong pasukan bola sepak Perak juga mengambil keputusan untuk tidak ke Stadium Larkin dalam perlawanan Piala Malaysia diantara Perak dan JDT.

“Ini bagi mengelakkan keadaan bertambah teruk dan mengelakkan kekecohan di Stadium Perak berulang,” katanya.

Jamil berharap perbincangan dapat dilakukan segera antara kelab penyokong bola sepak Perak dengan JDT dalam masa terdekat.

“Kita nak main bola bukan nak gaduh-gaduh. Kita lihat kejadian ini bukan penyokong yang selalu pergi (buat kecoh) tetapi penyokong yang tak selalu pergi ke stadium yang lakukan.

“Ini memberi masalah kepada pasukan Perak apabila datang ke gelanggang lawan seperti ke Stadium Larkin nanti,” katanya.

Pautan:

TMJ: Perak memang negeri bermasalah