Raja Bahrin: Ketua menteri Melaka layak ke pentas Raja Lawak

raja bahrin

KUALA LUMPUR: Tuduhan kononnya Amerika Syarikat mahu “membunuh orang Melayu” selepas menjatuhkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hanya sesuai di pentas pertandingan lawak, kata Datuk Raja Bahrin Shah.

Ahli Parlimen Kuala Terengganu itu mengulas kenyataan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron tiga hari lalu, yang mendakwa saman sivil Jabatan Kehakiman AS (DOJ) untuk menyita aset berkait 1MDB sebahagian usaha menjatuhkan Najib dan orang Melayu, seperti apa yang berlaku di Iraq selepas kejatuhan Saddam Hussein.

Katanya, kenyataan itu “bahan sesuai untuk inspirasi Raja Lawak Mega”, merujuk rancangan terbitan Astro.

“Perkasa yang merupakan juara Melayu pun tidak teruja dengan tuduhan tersebut. Pada mulanya ada menteri menuduh ia komplot untuk jatuhkan Najib, ada juga yang kata hendak porak-porandakan Malaysia.

“Hebat betul panglima setia Najib ini,” kata Raja Bahrin, yang juga ketua Amanah Terengganu.

Idris sebelum ini mempersoalkan langkah DOJ bulan lalu yang memfailkan saman sivil bagi merampas aset di negara itu yang disyaki hasil daripada pengubahan wang haram.

“Kau tipu orang Iraq, kau bunuh orang Iraq, sekarang kau nak bunuh pula orang Melayu. Ini tidak lain dan tidak bukan plot politik untuk menjatuhkan Datuk Seri Najib, sebab dia tahu (Najib) boleh angkat Melayu dihormati dan disegani satu dunia,” katanya seperti dipetik Malaysiakini.

Bagaimanapun, Raja Bahrin mengingatkan Najib rapat dengan Presiden Barack Obama dan akur dengan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik walaupun dibantah rakyat.

Katanya, tiada negara luar mahu menyerang Malaysia.

“Kehancuran Malaysia, jika ia berlaku, bukan disebabkan kuasa luar. Malaysia akan dimusnahkan oleh mereka yang diamanahkan rakyat untuk memerintah negara dan para agamawan yang memilih untuk membisu,” katanya.