Raja Perlis perkenan ubah tarikh konvo USM sehari awal

usm-convo-raja-perlis

GEORGE TOWN: Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Tuanku Syed Sirajuddin Tuanku Syed Putra Jamalullail memperkenankan upacara Konvokesyen USM ke-54 akan diadakan pada 24 hingga 27 Oktober ini.

Menurut kenyataan USM hari ini, perubahan tarikh itu berikutan bilangan sebenar graduan yang diperoleh selepas Mesyuarat Majlis Peperiksaan Universiti baru-baru ini mencecah sekitar 6,330 orang yang membolehkan konvokesyen diadakan dalam lapan sidang.

“Jumlah graduan itu akan disahkan Senat Universiti pada hujung bulan ini dan perincian kedudukan ijazah mengikut sidang akan diumumkan kemudian,” katanya yang dipetik Bernama.

Keputusan memuktamadkan tarikh konvokesyen turut dibuat dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Konvokesyen USM yang diadakan semalam.

Menurut kenyataan itu, tarikh konvokesyen kebiasaannya dimuktamadkan selepas mendapat statistik sebenar graduan yang akan menerima ijazah untuk diagihkan mengikut kapasiti Dewan Tuanku Syed Putra USM.

FMT hari ini melaporkan rasa tidak puas hati pelajar beragama Hindu USM kerana majlis konvokesyen akan
berlangsung sehari sebelum perayaan Deepavali.

Tarikh itu dikatakan menyukarkan mereka membuat persiapan sambutan perayaan itu.

Mengikut laman rasmi USM sebelum ini, upacara konvokesyen akan berlangsung dari 24 hingga 28 Oktober, sementara Deepavali jatuh pada 29 Oktober.

Pelajar Hindu USM kesal konvo sehari sebelum Deepavali