Sukar capai 35% pekerja mahir, kata MTUC

Gopal-Krishnan_mutc_kerja_600

KUALA LUMPUR: Kerajaan berdepan tugas sukar untuk mencapai sasaran 35% rakyat Malaysia menjadi tenaga kerja berkemahiran tinggi menjelang 2020, kata Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) Gopal Krishnan.

Katanya, ini kerana keadaan semasa tidak kondusif dalam menjadikan rakyat Malaysia sebagai pekerja berkemahiran tinggi.

“Sebanyak 70% pekerja adalah berpendidikan sehingga tingkatan 5, dan sistem pembelajaran kita tidak mengutamakan subjek teknikal dan vokasional.

“Sebab itu MTUC sekian lama mencadangkan kerajaan mengutamakan subjek berkaitan kemahiran sejak awal,” katanya ketika dihubungi FMT.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Ismail Abd Muttalib yang berkata kerajaan menyasarkan peningkatan 7% rakyat Malaysia yang menjadi tenaga kerja berkemahiran tinggi, daripada 28% pada masa ini.

Berhubung peranan majikan pula, beliau berkata ada majikan yang enggan menghantar pekerja untuk menghadiri kursus kerana bimbang mereka akan menuntut gaji yang lebih tinggi.

“Pekerja pula sesetengahnya ada yang enggan hadir, hanya tumpu untuk mendapat upah lebih masa,” katanya lagi.

Bernama sebelum ini melaporkan Ismail sebagai berkata jumlah 28% itu jauh ketinggalan berbanding negara maju lain yang mencapai angka 40%, dan pelaksanaan Sistem Persijilan Kemahiran Malaysia akan dapat membantu kerajaan mencapai sasaran itu.
Bagaimanapun, Gopal berkata ia tidak akan membawa sebarang kesan yang diharapkan.

“Hanya beri sijil apa yang akan berubah? Ia ibarat sijil kehadiran (kursus) saja, tidak ambil kira anda lulus atau tidak,” katanya.

Sebaliknya, beliau berkata semua pihak termasuk kerajaan, majikan dan pekerja perlu memainkan peranan bagi mencapai sasaran itu memandangkan masa sudah terlalu singkat.

“Untuk jadi negara maju bukan saja berdasarkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), tetapi teknologi yang berkembang dan rakyat berpendidikan. Bagaimana hendak membangunkan negara jika 70% pekerja hanya lepasan tingkatan 5.

“Sasaran (peningkatan 7%) boleh dicapai hanya jika semua pihak komited dan bukannya saling mengharapkan pihak lain,” katanya.