USM akui siaran tarikh konvokesyen di laman web silap

Prof-Datuk-Dr-Abdul-Aziz-Tajuddin

PETALING JAYA: Pendaftar Universiti Sains Malaysia (USM) Prof Datuk Dr Abdul Aziz Tajuddin berkata tarikh pesta konvokesyen pada 24 hingga 28 Oktober, sehari sebelum sambutan Hari Deepavali yang tersebar itu sebenarnya belum dimuktamadkan.

Aziz berkata pengumuman tarikh berkenaan dibuat hanya untuk sebaran pihak dalaman USM saja dan bukannya keputusan rasmi.

“Tarikh 24 hingga 28 Oktober itu kita bincang hanya untuk pengetahuan sumber dalaman saja. Tidak tahu pula bagaimana orang luar dapat tahu. Itu bukan keputusan muktamad lagi kerana perlu mendapat perkenan Tuanku Canselor terlebih dulu.

“Mungkin yang dikeluarkan menerusi laman rasmi USM itu disebabkan berlakunya sedikit kesilapan teknikal,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai rungutan bakal graduan USM dan keluarga masing-masing yang beragama Hindu berikutan tarikh konvokesyen terlalu hampir dengan Deepavali.

Menurut laman rasmi USM sebelum ini, Canselor USM, Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail memperkenankan Upacara Konvokesyen ke-54 diadakan pada 24 hingga 28 Oktober.

Sambutan Deepavali pada tahun ini pada 29 Oktober.

Sehubungan itu, Aziz berkata USM sedia membuat perubahan tarikh konvokesyen itu dan perbincangan terperinci berhubung perkara itu sedang dilakukan dan keputusan rasmi akan dibuat selepas mendapat perkenan canselor USM.

“Kita baru bincang, belum ada keputusan rasmi lagi setakat ini kerana perlu mendapatkan perkenan daripada Tuanku Canselor. Kita prihatin tentang perkara ini, dan dari awal kita lihat tarikh itu (Hari Deepavali).

“Kita juga sudah lihat bilangan pelajar (India) yang berijazah, kita akan buat sedikit perubahan. Jangan risau, USM beri jaminan mereka yang akan sambut Deepavali tidak akan terjejas dan boleh merayakannya di kampung.

“Kita akan susun dan pastikan akan ada jarak antara hari konvokesyen dengan tarikh Deepavali,” katanya.