3,000 doktor pakar keluarga diperlukan

noor-hisham

PETALING JAYA: Kira-kira 3,000 pakar perubatan keluarga diperlukan di klinik kesihatan dan hospital kerajaan di seluruh negara, kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata setakat ini bilangan doktor pakar perubatan keluarga sedia ada masih kecil berbanding keperluan semasa.

“Terdapat 983 klinik kesihatan di negara ini dan kepakaran perubatan keluarga hanya ada kira-kira 300 orang. Kita perlu mempunyai lebih ramai lagi pakar perubatan keluarga.

“Mungkin tidak semua klinik kesihatan mempunyai pakar perubatan keluarga. Kalau boleh dua atau tiga orang pakar perubatan keluarga ditempatkan di setiap klinik kesihatan,” katanya selepas merasmikan Persidangan Saintifik Pakar-Pakar
Perubatan Keluarga ke-19, di sini hari ini.

Beliau berkata memandangkan bilangan doktor yang boleh dilatih melalui program sarjana di universiti tempatan adalah terhad, kerajaan telah memberi peluang kepada, contohnya, Akademi Perubatan Keluarga Malaysia (AFPM) bagi melahirkan lebih ramai pakar perubatan keluarga di negara ini.

Selain klinik kesihatan, terdapat 100 klinik ibu dan anak di seluruh negara, 340 klinik 1Malaysia dan 1,806 klinik desa.

Dr Noor Hisham berkata sehingga kini terdapat kira-kira 120 orang pensyarah dalam bidang perubatan keluarga di enam buah universiti tempatan, empat di Kementerian Pertahanan dan kira-kira 70 orang pakar perubatan keluarga di klinik swasta di seluruh negara.

Selain itu, beliau berkata Klinik Kesihatan Kuala Lumpur yang dijangka dapat beroperasi selewat-lewatnya September ini merupakan mercu tanda kepada perkhidmatan penjagaan primer dengan kemudahan infrastruktur dan kelengkapan yang baik bagi 4,000 orang pesakit luar setiap hari.

Persidangan selama empat hari itu merupakan agenda tahunan anjuran Persatuan Pakar Perubatan Keluarga Malaysia (FMSA) sejak 1997.

Tujuan utama persidangan itu adalah untuk meningkatkan pengetahuan pakar perubatan keluarga dan petugas di peringkat penjagaan primer tentang perkembangan perubatan dan penjagaan kesihatan terkini agar dapat meningkatkan kualiti penjagaan pesakit.