Aktivis pendidikan: Islam bukan faktor ibu bapa tolak sekolah kebangsaan

Zul-Fikri-Zamir

KUALA LUMPUR: Sekolah kebangsaan tidak lagi menjadi pilihan ibu bapa kerana pencapaian yang teruk dan bukannya kerana menjadi “terlalu Islamik”, kata sebuah badan pendidikan.

Zul Fikri Zamir yang menjadi pengasas bersama Teach For The Needs (TFTN) berkata jika pencapaian sekolah kebangsaan lebih baik berbanding sekolah aliran Cina, ibubapa tanpa mengira kaum pasti akan menghantar anak mereka ke sana.

“Ibu bapa semakin berminat menghantar anak ke sekolah aliran Cina kerana prestasi, ini jelas. Kayu ukurnya bukan Islamik atau tidak.

“(Penerapan) nilai Islam di sekolah kebangsaan sudah lama berlangsung, dan tidak pernah menjadi isu. Jangan kita terperangkap dengan polemik remeh,” katanya kepada FMT.

Baru-baru ini FMT melaporkan kajian 2 tahun Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan (MPPK) mendapati persepsi sekolah kebangsaan “terlalu Islamik” dan pentadbiran yang didominasi satu kaum antara punca sekolah jenis kebangsaan menjadi pilihan ibu bapa.

Susulan itu, Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata tidak akan membenarkan sekolah kebangsaan menjadi “terlalu Islamik”, mengundang beberapa pertubuhan Islam termasuk PAS.

Zul Fikri yang berpengalaman menjadi guru selama 6 tahun di sebuah sekolah kebangsaan di Kuala Lumpur berkata isu yang sepatutnya diberi perhatian adalah bagaimana meningkatkan semula mutu sekolah kebangsaan.

“Hal asas seperti peranan kementerian dan masyarakat untuk membantu guru dan bagaimana untuk mempermudahkan sistem birokrasi. Begitu juga dengan beban kerja guru dan masalah pengetua yang sibuk kejar ‘ranking’,” katanya yang banyak menulis isu pendidikan, termasuk buku “Sekolah Bukan Penjara, Universiti Bukan Kilang”.

Kajian MPPK itu juga meramalkan sekolah aliran Cina akan menjadi sekolah arus perdana menggantikan sekolah kebangsaan dalam masa 10 tahun akan datang.

Pautan:

Sekolah kebangsaan: PAS, Isma, mufti Pahang bidas menteri