Arak mungkin diharamkan di Indonesia

Hariyadi Sukamdani

JAKARTA: Persatuan hotel Indonesia memberi amaran kepada kerajaan dan badan perundangan republik itu yang pelancongan negara akan “karam” jika Dewan Rakyat meluluskan rang undang-undang (RUU) melarang alkohol di negara itu.

Persatuan itu mendakwa, RUU berkenaan yang dibawa dua parti Islam, Parti Pembangunan Bersatu (PPP) dan Parti Keadilan Sejahtera (PKS) tidak mengambil kira suara pihak berkepentingan dalam sektor pelancongan, lapor Jakarta Post.

Presiden Persatuan Hotel dan Restoran Indonesia (PHRI) Hariyadi Sukamdani berkata meskipun ramai ahli perniagaan dalam sektor pelancongan meluahkan rasa tidak puas hati terhadap usul itu, Dewan Rakyat tetap meneruskan perbincangan terhadap RUU itu.

“Kalau RUU itu diluluskan, habislah perniagaan kami. Pelancong, yang kebanyakan dari Eropah, minum alkohol setiap masa. Amat sukar untuk mereka jika tidak memperoleh alkohol,” katanya dipetik daripada Jakarta Post.

“Tidak kira betapa cantik pun sesebuah negara, jika mereka tidak dapat cari alkohol, mereka tidak akan datang ke sini.”

Menurut akhbar harian itu, jika RUU itu diluluskan ia akan mengenakan larangan terhadap larangan pengeluaran, pengedaran dan penggunaan arak yang mengandungi peratusan alkohol 1 hingga 55%.

Hariyadi berkata pada masa ini pun, perniagaan mereka sudah terjejas susulan bekas menteri perdagangan, Rachmat Gobel mengetatkan peraturan terhadap pengedaran alkohol di negara itu.