Bersatu nafi kitar semula halaman Facebook

Kamarulazman-Habibur-Rahman

PETALING JAYA: Setiausaha Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Kamarulazman Habibur Rahman menafikan dakwaan kononnya mereka menggunakan halaman Facebook “kitar semula” untuk parti itu.

Katanya, parti yang didaftarkan pada Selasa lalu oleh bekas Timbalan Presiden Umno, Muhyiddin Yassin masih belum memiliki sebarang laman Facebook rasmi.

“Malah, Pendaftar Pertubuhan (RoS) menasihatkan kami supaya tidak membuat apa-apa sebelum proses pendaftaran parti Bersatu lulus.

“Tetapi oleh kerana ramai yang teruja untuk menyertai parti, mereka menggerakkan langkah masing-masing bagi menunjukkan tanda sokongan. Mereka sangat bersemangat dan walaupun kami sedar kewujudan Facebook namun tidak pasti siapa mengendalikannya,” katanya.

Semalam, blogger Lim Sian See menyenarai beberapa halaman Facebook yang didakwa milik Bersatu.

Salah satu laman parti itu dikatakan mempunyai lebih 9,000 pengikut dan pernah digunakan sebagai platform untuk penyokong Akta Hasutan 1948 yang penuh kontroversi, dakwa Lim.

Justeru, Kamarulazman, salah seorang daripada tujuh pengasas parti itu meminta penyokong Bersatu agar bersabar kerana bimbang terhadap kesannya yang boleh membantutkan kelulusan RoS.

“Kadang-kadang mereka (penyokong) terlalu bersemangat sehingga mereka mengambil langkah mempromosi parti menggunakan pendekatan tersendiri. Antaranya mengedarkan borang pendaftaran keahlian yang bukan datang daripada kami.

“Walaupun kami menghargai semangat mereka, tetapi kami juga bimbang jika ia melambatkan proses kelulusan pendaftaran oleh RoS.”

Parti politik baharu itu diumumkan oleh bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada bulan lepas.

Muhyiddin dijangka menjadi presiden dan meneraju parti itu dengan kerjasama parti-parti pembangkang yang lain untuk mengalahkan Barisan Nasional pada pilihan raya umum akan datang.