Debat apa lagi, Dr M dah telanjangkan Umno, kata Ku Nan

tengku-adnan_mahathir_600_1

BUKIT JALIL: Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor tidak bersetuju jika debat antara Tun Dr Mahathir Mohamad dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak diadakan.

Katanya, bekas perdana menteri itu sendiri sudah menyerang dan melemparkan pelbagai tuduhan terhadap Umno dan presiden parti hingga menimbulkan persepsi salah kepada masyarakat.

“Tidak perlulah berdebat, ini semua masalah persepsi. Masalah yang tidak ada kesahihan. Nak debat apa lagi, anda (Mahathir) pun dah leraikan, telanjangkan kita di depan masyarakat dengan perkara fitnah, persepsi salah.

“Jadi macam mana nak dialog lagi. Pada saya tidak perlu,” katanya ketika ditemui pada majlis Perasmian dan Pembukaan Jalan Sambungan Jalan Jalil Perkasa 7 ke Jalan Barat Bukit Jalil hari ini.

Semalam, Dr Mahathir menerusi blognya mencabar Najib untuk berdebat secara langsung di stesen televisyen.

“Saya dah tua sekarang. Tetapi Alhamdulillah, saya belum lagi nyanyuk. Saya dengan senang hati akan menerima debat terbuka dengan Najib dan penonton mengikutinya menerusi siaran langsung.

“Debat itu hendaklah mengenai pentadbiran negara. Saya mungkin kalah. Wang boleh menang. Biar rakyat Malaysia menilai, tidak TV3 atau NST atau penyokong saya sendiri,” kata Dr Mahathir dalam blognya.

Dr Mahathir kini sedang dirawat di Institut Jantung Negara (IJN) selepas dimasukkan ke pusat perubatan itu akibat jangkitan di bahagian dada beberapa hari lalu.