FFM cuma malam anugerah, tidak relevan, kata penggiat filem

ffm

PETALING JAYA: Beberapa tahun lalu, pengarah filem dan pengkritik sosial Amir Muhammad berkata satu-satunya anugerah Festival Filem Malaysia (FFM) yang berbaloi dimenangi adalah ‘Anugerah Poster Terbaik’.

Jenaka atau tidak, kenyataan itu menunjukkan tahap relevan – ataupun tidak – anugerah filem tertinggi negara ini.

Dan besar kemungkinan ia bukan pandangan Amir seorang sahaja.

Untuk edisi tahun sebelumnya, liputan berkenaan FFM hanyalah berkisar kepada pencalonan dan pemenang, selain busana yang dikenakan selebriti pada malam acara tentunya.

Cuma pada tahun ini, FFM mengundang liputan meluas media ekoran syarat penggunaan 60% Bahasa Malaysia bagi melayakkan sesebuah filem bertanding dalam beberapa kategori utama, iaitu Filem Terbaik, Pengarah Terbaik dan Lakon Layar Terbaik.

Ia bukanlah perkara baharu, tetapi kali ini mengundang kontroversi kerana dua filem yang terkesan akibat dasar itu – “Ola Bola” dan “Jagat” – merupakan filem paling diperkatakan pada tahun ini.

Sudah lama tidak relevan

Pengarah filem Al Jafree Md Yusop berkata FFM sudah lama menjadi anugerah yang tidak relevan.

“Tujuan pun tidak jelas. Sebenarnya FFM ini bukan festival pun, seperti Cannes (yang lengkap dengan pelbagai acara). FFM hanya malam anugerah.

“Sebelum ini, ia tidaklah terlalu diperkatakan. Kecuali pada tahun ini kerana kontroversi pengasingan filem Bahasa Malaysia dan bukan Bahasa Malaysia,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata, ramai yang mula bersuara terhadap pengasingan itu, terutama mereka yang terlibat dalam industri perfileman sendiri, kerana memikirkan “dunia perfileman” negara yang kecil.

“Banyak mana filem yang keluar setiap tahun? Apabila filem bagus seperti Ola Bola dan Jagat terkeluar, tinggallah filem seperti Mat Moto (kategori Filem Terbaik) dan Suamiku Encik Perfect 10 (kategori Lakon Layar Terbaik).

“Ini lagi teruk daripada dakwaan tidak martabatkan Bahasa Malaysia,” katanya.

Kontroversi pengasingan kategori itu menyebabkan pengarah filem, Afdlin Shauki, mengumumkan akan memboikot FFM tahun ini, manakala calon sinematografi terbaik, Mohd Noor Kassim memulangkan kembali dua trofi FFM yang pernah dimenanginya.

Pengarah Yusuf Haslam pula mempertahankan pemisahan kategori itu dengan berkata filem Malaysia haruslah akur dengan dasar bahasa kebangsaan, manakala pelakon Ellie Suriati mengisytiharkan sokongannya terhadap FFM “sampailah bila-bila”.

Akhirnya, Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Salleh Said Keruak semalam mengumumkan kategori “Filem Terbaik” akan dibuka kepada semua filem, dan pewujudan kategori baru iaitu “Anugerah Filem Terbaik Bahasa Kebangsaan”.

Bahan ketawa

Al Jafree yang merupakan penggerak Komuniti Filem Titiwangsa (Komfit) berkata, masalah utama FFM yang sebenar adalah ia satu-satunya festival filem yang dianjurkan oleh pengeluar filem, iaitu Persatuan Pengeluar-pengeluar Filem Malaysia (PFM).

Beliau membandingkan perkara itu dengan Anugerah Academy di Amerika Syarikat yang dianjur Academy of Motion Picture Arts and Sciences (AMPAS), dan berkata persatuan pengeluar filem di sana, Motion Picture Association of America, tidak berani “mengusik” anugerah itu.

“Ini membuatkan FFM jadi bahan ketawa. Katalah apa-apa pun, pasti akan berlaku konflik kepentingan dan tidak beretika. Namun tiada siapa yang peduli ataupun berani menyuarakan perkara ini.

“Ini adalah kerisauan utama Komfit. PFM tidak sepatutnya menganjur FFM,” katanya.

Bagaimanapun, beliau yakin PFM akan menjadi lebih baik ekoran kontroversi edisi tahun ini.

“Ini adalah permulaan yang baik, misalnya tindakan Mohd Noor (memulangkan trofi). Ia menimbulkan polemik dan itu adalah perkara yang bagus,” katanya.