Tidak takut disaman, pemimpin pembangkang ikrar terus berjuang

pcm-1

GEORGE TOWN: Naib Presiden Parti Cinta Malaysia, Datuk Huan Cheng Guan berikrar akan terus berjuang untuk rakyat Pulau Pinang, walaupun disaman sebuah syarikat pembinaan terowong dasar laut.

Peguam syarikat pembinaan terowong dasar laut, Consortium Zenith-BUCG (CZBUCG) menyerahkan notis saman fitnah kepada beliau, Selasa lalu, selain memohon injunksi bagi menghalang Huan membuat kenyataan berhubung projek itu.

“Kerajaan Pulau Pinang sentiasa menyokong kebebasan bersuara. Dengan saman ini, jelas tiada (kebebasan bersuara). Keadaan lebih teruk apabila tiada jawapan sewajarnya diberikan kerajaan Pulau Pinang mengenai terowong dasar laut.

“Malah, debat antara exco kerajaan negeri, Lim Hock Seng dan Setiausaha Agung Gerakan, Datuk Liang Teck Meng juga tidak berhasil. Semua jawapan diberikan pegawai kerajaan Pulau Pinang setakat ini bercanggah antara satu sama lain.

“Saya akan biarkan mahkamah tentukan jika ini adalah adil. Saya harap kes ini tidak akan diteruskan.

“Anda boleh lakukan apa yang anda mahu, saya tidak akan takut. Tanah ini milik rakyat, bukannya tanah bapa pemimpin. Tetapi saya dilahirkan di Pulau Pinang dan saya ada tanggungjawab bersuara untuk rakyat Pulau Pinang,” kata pemimpin pembangkang itu ketika dihubungi hari ini.

Terdahulu, Huan menyiarkan sebahagian daripada surat saman yang diterimanya di Facebook yang berbunyi: “Satu injunksi bagi defendan untuk menghalang mereka atau ejen, pekerja mereka daripada mengulangi atau menerbitkan kenyataan dalam sebarang cara terhadap plaintif.”

Sementara itu, Huan turut mempersoalkan status siasatan dokumen berkaitan terowong dasar laut yang diserahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, beberapa bulan lalu.

“Semua sudah diserahkan kepada mereka dan saya harap Ketua SPRM Pulau Pinang yang baharu boleh menjalankan siasatan segera,” katanya.

CZBUCG memenangi tender terbuka untuk membina terowong dasar laut menghubungkan George Town dan Butterworth serta tiga jalan utama lain yang keseluruhannya bernilai RM6.3 bilion.

Syarikat usaha sama Malaysia-China itu berkata, ia menyaman Huan kerana kenyataannya merosakkan reputasi mereka dan menjejaskan keyakinan pelaburnya.

Pengerusi CZBUCG, Zarul Ahmad Mohd Zulkifli berkata, syarikatnya bersikap telus dan memaklumkan perkara yang berlaku sejak tiga tahun lalu.

Huan berkata, beliau sudah mengarahkan peguamnya menyaman CZBUCG dan kerajaan Pulau Pinang kerana memfitnahnya dan mengelarnya penipu.