‘Jangan kaitkan Ibn Taimiyyah dengan keganasan IS’

ibn-taymiyyah

PETALING JAYA: Sarjana Islam tempatan berkata pihak berkuasa perlu berhati-hati sebelum mengaitkan mana-mana aliran dengan aktiviti keganasan IS, susulan pendedahan polis merampas beberapa risalah militan yang memuatkan penulisan pemikir Islam termasyhur, Ibn Taimiyyah.

“Elok kita tidak kaitkan IS dengan pandangan Ibnu Taimiyyah. Lebih baik kita katakan IS ini mempunyai doktrin yang asing dengan doktrin kita amalkan di Malaysia,” kata Pengerusi Majlis Dakwah Negara, Prof. Mahmood Zuhdi Abd Majid, memberitahu FMT.

Sebelum ini, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay dipetik Bernama sebagai berkata IS menggunakan pandangan ekstrem tokoh ulama abad ke-14 itu, yang didakwanya melabel pengikut Sunnah Wal Jamaah “sesat, syirik, murtad dan ahli neraka”.

Katanya, rampasan buku oleh polis menunjukkan ramai cuba “menghalalkan” perbuatan keganasan dengan merujuk kepada pandangan Ibnu Taimiyyah.

Ibn Taimiyyah (1263-1328), ulama kelahiran Syria yang merupakan ilmuwan Islam paling terkenal dari aliran Hanbali, diberi gelaran “Sheikhul Islam” disebabkan penulisan dan pengaruh besarnya ke atas perkembangan ilmu Islam.

Bagaimanapun, ajarannya kerap dikatakan menjadi ikutan aliran yang dianggap pelampau seperti Wahabi, walaupun kehebatan ilmu beliau diiktiraf umat Islam semua aliran.

Sementara itu, Ketua Dewan Ulama PAS Datuk Dr Mahfodz Mohamed berkata, pandangan dan buku Ibnu Taimiyyah diguna pakai universiti di seluruh dunia termasuk Universiti Al-Azhar.

“Ibnu Taimiyyah bukanlah ulama yang ekstrim, bukunya dibaca penganut agama Islam tidak mengira mazhab,” katanya.

Sebaliknya, Mahfodz berkata IS didalangi orang yang tidak faham Islam. “Tetapi Ibnu Taimiyyah sudah ada terlebih dahulu.”

Beliau juga mempersoalkan dakwaan ulama tersohor itu mengkafirkan atau mensyirikkan pengikut Sunnah Wal Jamaah, seperti yang diikuti kebanyakan umat Islam Malaysia.

Pautan:

IS kini lebih agresif sebar ideologi