Jawatan Nazir Razak di CIMB dipersoal selepas panduan baharu BNM

Nazir-Razak_cimb_bnm_600

PETALING JAYA: Garis panduan baharu Bank Negara Malaysia (BNM) yang bakal berkuatkuasa tahun memberi kesan kepada kedudukan Datuk Seri Nazir Razak sebagai pengerusi Kumpulan CIMB, lapor akhbar Singapura, The Straits Times (ST).

Di bawah peraturan dikeluarkan awal bulan ini, ketua pegawai eksekutif institusi kewangan dilarang memegang jawatan pengerusi lembaga pengarah.

Garis panduan itu juga menetapkan institusi kewangan mesti memiliki majoriti pengarah bebas dalam lembaga pengarah masing-masing.

Menurut ST, walaupun panduan itu tidak digunakan secara retroaktif, ia mungkin membawa kesan apabila kedudukan Nazir sebagai pengarah lembaga diperbaharui oleh jawatankuasa pencalonan bank tahun depan.

Laporan itu bagaimanapun tidak menjelaskan jenis implikasi terhadap Nazir.

Adik kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak itu merupakan Ketua Pegawai Eksekutif CIMB antara 1999 dan 2014, sebelum menjadi pengerusi kumpulan.

Garis panduan tersebut bertujuan membataskan kuasa antara pihak lembaga pengarah dan pengurusan.

Seorang pegawai bank pusat kanan yang enggan dinamakan memberitahu ST, syarat itu bagi mengelakkan situasi pengerusi berada dalam kedudukan menyelia dasar yang diwujudkan apabila orang sama menjadi ketua pegawai eksekutifnya.

Peraturan baharu itu juga dikatakan memaksa pentadbiran Najib melantik Abdul Wahid Omar sebagai pengerusi Permodalan Nasional (PNB) dan bukannya pengerusi Maybank.

Seorang pembantu kanan Najib memberitahu ST, perdana menteri pada awalnya merancang melantik Wahid, yang merupakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab bagi perancangan ekonomi, sebagai pengerusi Maybank apabila beliau meletak jawatan Kabinet pada bulan Jun.

Bagaimanapun memandangkan Wahid pernah menjadi presiden dan ketua pegawai eksekutif Maybank antara 2008 dan 2013, beliau dilantik sebagai pengerusi PNB.