JDT gagal di medan sendiri

jdt-perak-fa

KUALA LUMPUR: Juara bertahan Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) gagal memanfaatkan kelebihan beraksi di laman sendiri setelah seri 1-1 berdepan Perak pada aksi keempat Kumpulan C Piala Malaysia di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, malam tadi.

Keputusan seri itu, bagaimanapun menyaksikan Perak muncul pendahulu Kumpulan C menerusi kelebihan jaringan walaupun berkongsi tujuh mata dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Di Larkin, kehadiran lebih 20,000 penyokong skuad Harimau Selatan nyata gagal memberi kelebihan kepada pasukan tuan rumah yang dikejutkan dengan jaringan pembukaan Perak menerusi sepakan percuma pemain import dari Uzbekistan, Oybek Kilichev seawal minit ketiga perlawanan.

Kapten JDT, Safiq Rahim berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-15 setelah menyempurnakan sepakan penalti, susulan percubaan pemain tuan rumah terkena tangan pemain pelawat.

Dalam pada itu, PKNS FC meraih kemenangan sulung dalam kempen Piala Malaysia setelah mengalahkan PDRM 1-0 di Stadium Hang Jebat, Melaka hasil jaringan Shahurain Abu Samah pada minit ke-28.

Gol berkenaan berpunca daripada sepakan percuma Mohd Nasrin Syamsulbahrin yang ditanduk Gonzalo Manuel Soto sebelum singgah kepada Shahurain yang tenang menewaskan penjaga gol PDRM, Muhammad Haziq Nadzli.

PDRM ditimpa nasib malang selepas Abd Latiff Suhaimi dilayangkan kad merah oleh pengadil Syed Azhar Syed Kamar pada penghujung babak kedua perlawanan selepas mengutip kad kuning kedua.

Pendahulu Kumpulan A dan B, masing-masing Kedah dan Kelantan menjadi dua pasukan terawal mengesahkan tiket ke suku akhir Piala Malaysia selepas mengutip 10 mata walaupun masih berbaki dua perlawanan.