Justo mohon habiskan hukuman penjara di Switzerland

Justo

PETALING JAYA: Warganegara Switzerland Andre Xavier Justo, yang menerima pengampunan diraja baru-baru ini ketika menjalani hukuman penjara di Thailand atas kesalahan cubaan memeras ugut dalam kontroversi 1MDB, memilih untuk menghabiskan baki hukumannya di tanah airnya.

Bangkok Post memetik peguamnya, Worasit Piriyawiboon sebagai berkata jika diberikan parol, Justo perlu tinggal di Thailand dan melaporkan diri kepada pihak berkuasa setiap bulan, hingga Jun tahun depan.

Bagaimanapun, Justo juga boleh menghabiskan baki tempoh hukumannya kira-kira 10 bulan di Switzerland, jika kerajaan Switzerland memohon untuk dia dipindahkan, kata laporan itu.

Jika pihak berkuasa Switzerland mengesahkan untuk membuat permohonan itu di bawah perjanjian bilateral antara Thailand dan Switzerland mengenai pemindahan banduan.

Pada awal minggu ini, Justo diberikan pengampunan diraja sempena hari ulang tahun ke-70 Raja Bhumibol Adulyadej dan Permaisuri Sirikit menaiki takhta.

Pengampunan itu membolehkan bekas eksekutif IT berusia 49 tahun yang dihukum penjara tiga tahun kerana cubaan memeras ugut bekas majikannya, PetroSaudi International, yang ada kaitan dengan 1MDB, diringankan hukumannya sebanyak satu pertiga.

Justo, dikatakan seorang banduan yang baik sudah setahun menjalani hukuman, dan ada setahun lagi baki.

Akhbar itu juga memetik seorang sumber yang terbabit dalam proses perjanjian banduan, berkata Justo mungkin dibebaskan seawal bulan depan, susulan “keinginan politik daripada pelbagai pihak”.

Menurut laporan itu, Justo juga dikehendaki oleh Jabatan Kehakiman (DoJ) Amerika Syarikat bagi saman pelucutan hak untuk menyita aset yang kononnya dibeli menggunakan wang dicuri daripada 1MDB.

Bagaimanapun, sumber memberitahu akhbar itu pemindahan itu tidak akan memberi manfaat kepada usaha AS menyelesaikan penipuan antarabangsa itu.

Justo didakwa membuat salinan semua e-mel PetroSaudi International, dan meminta syarikat itu membayar AS$2.5 juta, dan mengugut untuk mendedahkan data itu jika tidak menerima bayaran berkenaan.

Dia mendatangi akhbar The Edge di Malaysia untuk menjual data itu, apabila bekas majikannya enggan melayan permintaannya.

Justo kemudian menyaman pemilik The Edge – ahli perniagaan Tong Kooi Ong, dan dua yang lain, mendakwa dia diperdaya supaya menyerahkan data itu tetapi tidak dibayar.