Keadaan Dr M bertambah baik

mahathir

KUALA LUMPUR: Keadaan Tun Dr Mahathir Mohamad yang dirawat di Institut Jantung Negara bertambah baik hari ini, kata jurucakap IJN.

Beliau berkata, bekas perdana menteri itu yang dimasukkan ke IJN kelmarin kerana jangkitan di dada, masih menerima rawatan tetapi keadaannya bertambah baik.

Katanya, setakat ini, belum ada keputusan bila Dr Mahathir akan dibenarkan keluar.

Dr Mahathir, 91, ditempatkan di wad biasa dan lawatan adalah terhad kepada ahli keluarga berdasarkan nasihat pasukan perubatan.

Pada 1989, beliau mengalami masalah jantung dan kemudian menjalani pembedahan pintasan koronari di IJN.

Dr Mahathir menjalani pembedahan pintasan jantung buat kali kedua pada 2007.

Pada 2013, beliau dimasukkan ke IJN selama 10 hari untuk rawatan jangkitan di dada.