‘Kebanjiran’ penjawat awam bazir sumber negara

penjawat-awam

KUALA LUMPUR: ‘Kebanjiran’ pekerja dalam sektor awam membazirkan sumber Malaysia ketika pendapatan kerajaan semakin berkurangan.

Langkah mengurangkan penjawat awam adalah pilihan terbaik ketika ekonomi negara dijangka berkembang pada kadar paling perlahan dalam tempoh tujuh tahun ini.

Bagaimanapun, pengurangan tenaga kerja awam untuk meningkatkan dana kerajaan adalah sukar, menurut laporan Bloomberg.

Ini kerana majoriti penjawat awam adalah orang Melayu dan kerajaan pemerintah mempunyai pelbagai dasar pro-Melayu.

Juga, parti pemerintah Umno yang diketuai Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengamalkan dasar menyokong orang Melayu.

Penjawat awam juga adalah kumpulan pengundi penting buat Barisan Nasional.

Parti pemerintah BN yang berkuasa hampir 60 tahun dengan undi Melayu, berjanji akan mengurangkan secara beransur-ansur defisit belanjawan negara yang berlaku sejak krisis kewangan Asia, kata laporan itu.

Ekonomi AS$296 bilion yang didorong komoditi itu dijangka berkembang pada kadar paling perlahan dalam tempoh tujuh tahun pada 2016, dengan harga minyak lebih rendah yang mengurangkan hasil negara.

Malaysia mempunyai 1.6 juta penjawat awam yang terdiri daripada 11% keseluruhan tenaga pekerja negara.

Menurut laporan itu, birokrasi berlebihan itu adalah satu cabaran buat Najib. Nisbah penjawat awam berbanding populasi di negara ini, dua kali ganda lebih banyak daripada purata di rantau Asia Pasifik.

Sehubungan itu, Najib yang terselamat daripada pergolakan politik selama setahun disebabkan skandal 1MDB memerlukan sokongan orang Melayu untuk menang pada pilihan raya umum akan datang.

“Perkhidmatan awam membentuk sokongan asas penting kepada kerajaan dan kebiasaannya mereka boleh diharapkan untuk mengundi parti pemerintah pada pilihan raya,” kata penganalisis Asia di BMI Research di Singapura, Chia Shuhui.

“Kerajaan tidak akan mengurangkan manfaat yang diberikan kepada kumpulan penyokong asas mereka, jadi ia tidak mungkin membuat perubahan ketara dari segi perbelanjaan dalam perkhidmatan awam,” katanya yang dipetik Bloomberg.

Chia bagaimanapun berkata, kerajaan sudah mengambil beberapa langkah untuk memperkemaskan perkhidmatan awam dan meningkatkan kecekapan sektor awam.

Seorang pakar ekonomi di Bank Pembangunan Asia, Jayant Menon dipetik sebagai berkata “perkhidmatan awam di Malaysia saling mempengaruhi dasar etnik kerajaan dan ia bukan sahaja dapat memastikan pekerjaan, tetapi pekerjaan yang agak menarik.”

Memandangkan tidak banyak yang boleh dilakukan untuk perkhidmatan awam kerana sensitiviti politik dan etnik, Jayant menyarankan kerajaan menumpu perhatian terhadap pengurangan untuk pendedahan perniagaan melalui program penyahlaburan korporat berkaitan kerajaan bagi meningkatkan pendapatannya.

Gaji, pencen dan ganjaran menyumbang kira-kira satu pertiga daripada bajet setiap tahun yang merupakan perbelanjaan terbesar, kata Bloomberg.

Bagaimanapun, pegawai kerajaan pernah mempertahankan jumlah tenaga kerja dalam perkhidmatan awam.