Ku Li: Semangat 46 lain, Bersatu lain

Tengku-Razaleigh_muhyiddin_bersatu_600

PETALING JAYA: Tengku Razaleigh Hamzah hari ini menolak perbandingan di antara Parti Melayu Semangat 46 yang pernah dipimpinnya dengan Parti Pribumi Bersatu (Bersatu) yang menunggu kelulusan Pendaftar Pertubuhan (Ros).

Veteran Umno itu berkata Semangat 46, yang dibubarkan pada 1996, merupakan usaha menyekat bekas ahli Umno daripada menyertai parti lain sekiranya mereka tidak setuju dengan Umno Baru yang ditubuhkan Tun Dr Mahathir Mohamad susulan keputusan mahkamah pada 1988 yang mengisyhtiharkan Umno tidak sah.

“Maka menubuhkan Semangat 46 lebih mudah kerana ia melibatkan ahli Umno sahaja,” kata ahli Parlimen Gua Musang itu.

Selasa lalu, bekas timbalan presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin menyerahkan borang pendaftaran Bersatu, yang dinaungi Tun Dr Mahathir Mohamad dan beberapa bekas pemimpin Umno lain.

Muhyiddin, yang dipecat keahlian Umno baru-baru ini berkata, parti baharu itu terbuka kepada rakyat Malaysia bertaraf Bumiputera.

Ia mengundang beberapa penganalisis menyamakan parti itu dengan Semangat 46 yang ditubuhkan selepas perpecahan Umno kepada Team A pimpinan Dr Mahathir dan Team B pimpinan Razaleigh.

Kemuncak perpecahan itu menyaksikan perebutan untuk jawatan presiden Umno di antara Dr Mahathir dan Razaleigh, yang tewas tipis dengan 43 undi.

Razaleigh atau Ku Li menganggap parti Bersatu naungan Dr Mahathir merupakan platform politik baharu dan “tidak siapa pun yang berminat menyertainya”, katanya kepada pemberita selepas menghadiri pesta kebudayaan Melayu dan Cina di Universiti Malaya hari ini.

Ku Li berkata Bersatu akan menghadapi kesukaran menarik generasi muda menyertainya kerana mereka lebih bersikap terbuka dalam soal perpaduan kaum.

“Bersatu akan menghadapi kesukaran meyakinkan rakyat. Pembangkang pun menghadapi kesukaran,” katanya mengulas keahlian Bersatu yang hanya terhad kepada Bumiputera dan Melayu.