Penganalisis: Tanpa tadbir urus baik, Malaysia akan hancur

ramon-malaysia

PETALING JAYA: Tanpa tadbir urus yang baik, tidak mustahil negara maju pun akan mengalami kemerosotan dan menjadi seperti Filipina suatu ketika dahulu, termasuk negara membangun seperti  Malaysia.

Sehubungan itu, Pengarah Institut Kepimpinan dan Strategi Asia (ASLI), Tan Sri Ramon Navaratnam berkata, perdana menteri perlu mengambil tindakan segera bagi mengelakkan masalah berkaitan ekstremisme serta rasuah bertambah serius dan menghancurkan negara.

“Kalau mencegah ini semua, kita boleh maju.

“Mana-mana negara kalau tak ambil tindakan seperti tadbir urus yang baik…United Kingdom dan Amerika Syarikat pun boleh (jadi) teruk, bukan Filipina dan Malaysia sahaja,” katanya ketika dihubungi FMT hari ini.

Ramon bersetuju dengan pendapat bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Musa Hitam yang Malaysia sedang mengalami kejatuhan secara perlahan dan mungkin mengalami nasib sama seperti Filipina suatu ketika dahulu.

Semalam, Musa dilaporkan sebagai berkata, sejak kerajaan berdepan skandal mega, perkara lain seperti kejadian tembakan pada waktu siang tidak ditangani dengan baik, sehingga menyebabkan rakyat kini biasa dengan situasi itu, seperti keadaan di Filipina pada suatu ketika dahulu, di mana rakyatnya membawa senjata untuk mempertahankan diri.

Mengulas lanjut, Ramon berkata, kerajaan perlu mengambil langkah pencegahan bagi mengelakkan masalah rasuah di negara ini terus berleluasa.

“Ada yang dapat kontrak daripada kroni dan kronisme bertambah serius. Ini yang perlu dicegah,” katanya.