Saya tidak akan minta balik trofi FFM, kata Noor Kassim

Mohd-Noor-Kassim1

KUALA LUMPUR: Pemenang sinematografi terbaik Festival Filem Malaysia (FFM) tahun lalu, Mohd Noor Kassim, yang memulangkan trofi kepada penganjur anugerah itu, tidak menyesal dengan tindakannya.

“Kita orang Melayu ada maruah. Bila sudah pulang sesuatu benda kenapa mahu ambil balik, itu ‘buruk siku’ namanya,” katanya ketika ditanya sama ada akan berbuat demikian berikutan keputusan menarik balik pengasingan kategori filem bukan bahasa Melayu.

“Saya tidak pernah menyesal kerana anugerah diterima itu hanya ciptaan manusia. Saya hanya mengejar anugerah ciptaan Allah,” katanya kepada FMT.

Noor minggu lalu menyerahkan bungkusan plastik hitam berisi dua trofi dimenanginya tahun lalu kepada Ketua Pengarah Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas), Datuk Kamil Othman, pada sesi majlis dialog bersama penganjur FFM.

Katanya, tindakan memulangkan trofi yang dimenanginya menerusi filem “Setem” dan “Hikayat Merong Mahawangsa” bukan mencari publisiti murahan.

“Mungkin pengorbanan saya memulangkan dua trofi ini membuka mata segelintir pihak. Kami sebagai penggiat industri perfileman memandang serius kerana bimbang ia mampu menghakis perpaduan di Malaysia,” katanya.

Semalam, Finas mengumumkan mekanisme baharu penganjuran FFM tahun ini selepas kerajaan membenarkan semua karya bersaing dalam kategori Filem Terbaik tanpa pengasingan bahasa.

Sebelum itu, pengasingan filem bahasa Melayu dan bukan Melayu mencetuskan kemarahan beberapa penggiat filem, susulan filem popular seperti “Jagat” dan “Ola Bola” tidak dapat bertanding dalam kategori utama.