Sayap bukan Islam PAS sokong denda iklan tak bertudung

PETALING JAYA: Sayap bukan Islam dalam PAS berkata undang-undang syariah tidak akan menjejaskan kehidupan orang bukan Islam, sambil mempertahankan tindakan pihak berkuasa Kelantan mengenakan denda terhadap perniagaan kerana memaparkan “iklan seksi”.

Ketua Penerangan Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP), G. Balachandran menyifatkan tindakan pegawai penguatkuasa Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB) baru-baru ini lebih berpaksi kepada moral yang menurutnya “menjadi keutamaan setiap agama”.

“Kita perlu membina sebuah negara yang mempunyai nilai moral. Untuk memupuk sifat itu, perlu ada penguatkuasaan yang ketat. Tiada permainan (politik) di sini,” katanya kepada FMT.

Bulan lalu, MPKB mengenakan denda RM150 terhadap seorang pemilik perniagaan kerana mempamerkan poster produk kecantikan yang memaparkan model wanita Islam tanpa tudung.

Sebelum itu, penjual jam tangan Lee Kum Chuan dikenakan denda RM400 selepas memapar dua poster yang dikatakan “seksi”.

Susulan itu, MCA membidas PAS dengan berkata ia membuktikan dakwaan PAS yang undang-undang Islam tidak akan menjejaskan orang bukan Islam adalah tidak betul.

Bagaimanapun, Balachandran berkata wanita tidak harus dijadikan “objek seks” dalam menjual produk.

“Ini bukan eksklusif untuk Islam. Saya sebagai ibu bapa juga tidak mahu anak-anak saya melihat iklan yang menggunakan model seksi,” katanya kepada FMT.

Kerajaan Kelantan yang mahu memperkasakan undang-undang syariah supaya diluaskan kepada kelakuan jenayah, sering kali berkata ia tidak akan memberi kesan kepada rakyat bukan Islam.