Suspek plot serangan roket Batam-Singapura disiasat di Jakarta

suspek

JAKARTA: Lima suspek daripada sel keganasan yang kurang dikenali di mana ketuanya merancang melancarkan serangan roket dari Batam ke Marina Bay, Singapura diterbangkan ke Jakarta untuk siasatan polis, kata seorang pegawai kepada The Straits Times Singapura semalam.

Jurucakap polis Agus Rianto berkata anggota Katibah GR atau Sel GR itu, termasuk ketuanya Gigih Rahmat Dewa, dibawa ke ibu negara Indonesia menerusi kawalan ketat pada pagi Selasa, empat hari selepas tangkapan mereka.

“Kami bawa mereka dari Batam ke Jakarta pada Selasa dan akan disoal siasat oleh penyiasat Densus 88,” katanya merujuk kepada unit khas counter-terrorism negara itu.

The Straits Times Singapura melaporkan polis berkata akan terus memburu anggota lain sel itu di Batam, dan tempat lain di Indonesia.

“Kami akan terus menyiasat pembabitan mereka dalam aktiviti keganasan,” katanya.

Semua suspek terbabit berusia antara 20 hingga 46 tahun, dituduh memberi perlindungan kepada militan Uighur.

Gigih juga didakwa menerima dan menyalurkan wang untuk aktiviti radikal dan membantu warga Indonesia yang hendak ke Syria bagi menyertai kumpulan pengganas IS, lapor The Straits Times Singapura.

Seorang lagi anggota yang dilepaskan, Tegar yang bekerja di kilang berkata dia pernah menyertai satu mesyuarat sel berkenaan pada 2013. Suspek berusia 19 tahun itu memberitahu wartawan di Batam, dia dilepaskan kerana dia bukan “sasaran tangkapan”.

The Straits Times Singapura berkata setakat ini polis merampas bahan membuat bom dan senjata daripada kumpulan itu selain set memanah, beberapa buku bank, wang tunai, kamera dan dokumen peribadi yang dirampas daripada rumah Gigih.

Sepucuk senapang yang diubahsuai merupai raifal AK-47 ditemui disembunyikan di loteng rumah milik salah seorang anggota sel, Eka Saputra.

Polis juga merampas senapang angin dan buka nota serta unit pemprosesan komputer dari rumah seorang lagi suspek, Trio Syafrido.

Semua suspek terbabit menjalani latihan pengendalian senjata api dan menubuhkan struktur arahan, kata polis.

Pautan:

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2016/08/05/indonesia-tangkap-6-individu-cuba-lancar-roket-ke-marina-bay/

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2016/08/08/serang-singapura-gagal-kerana-gambar-profil-app-line/