Vaksin lembu: Hindu Sangam bidas KKM, klinik swasta mahal

RS-Mohan-Shan

SUBANG: Persatuan Hindu Sangam Malaysia berang dengan kenyataan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang memberi pilihan supaya sesiapa enggan disuntik vaksin mengandungi gelatin lembu, sila ke klinik swasta bagi mendapatkan vaksin lain.

Presidennya, R S Mohan Shan berkata tindakan KKM itu dilihat tidak bertanggungjawab kerana tidak semua rakyat mempunyai kemampuan dan wang untuk mendapatkan vaksin di klinik swasta.

“Kerajaan perlu mencari penyelesaian yang lebih baik. Janganlah beri pilihan seperti ini. Ia bukan sistem 1Malaysia yang dibawa kerajaan. KKM perlu mengkaji semula faktor pelbagai bangsa dan agama,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia Datuk Dr Noor Hisham Abdullah mengenai vaksin yang mengandungi gelatin lembu.

Dr Hisham sebelum itu berkata mereka yang tidak bersetuju untuk mengambil vaksin mengandungi gelatin lembu di klinik kerajaan boleh mengambil vaksin lain di klinik swasta.

“Kita akan maklum pada penerima vaksin. Kalau mereka setuju nak ambil daripada kita, ini yang kita ada. Kalau tak, (mereka) boleh ambil di swasta (klinik),” katanya kepada pemberita pada sidang media selepas Persidangan Saintifik Pakar Perubatan Keluarga ke-19 di Hotel Grand Dorsett.

KKM juga sebelum ini menyatakan 10 vaksin mengandungi gelatin lembu akan digunakan bagi menggantikan ramuan vaksin berasaskan babi.

Sementara itu, Setiausaha Agung Malaysia Hindu Dharma Mamandram (MHDM) berkata beliau berharap kerajaan mencari penyelesaian terbaik kerana ini melibatkan faktor agama.

“Walaupun untuk kesihatan tetapi bagi agama kita, tidak boleh sebab mengandungi gelatin lembu. Namun terpulang kepada penganut kita untuk mengambilnya atas alasan kesihatan atau tidak.

“Saya berpendapat kerajaan perlu mengambil pendekatan yang baik untuk mengasingkan kandungan itu bagi menjaga sensitiviti masyarakat,” katanya.