1MDB: Kes tutup, kata Bank Negara

Muhammad-Ibrahim_bnm_1mdb_600

KUALA LUMPUR: Bank Negara Malaysia (BNM) menyelesaikan semua siasatan ke atas 1MDB dan mengambil semua tindakan perlu di bawah bidang kuasanya, kata Gabenor Datuk Muhammad Ibrahim.

“Kami sudah menyelesaikan semua siasatan kami ke atas 1MDB berdasarkan semua maklumat dan kertas siasatan.

“Kami mengenakan penalti kepada syarikat itu dan mengambil semua tindakan perlu mengikut bidang kuasa kami di bawah undang-undang dan kami sudah tutup siasatan berkenaan,” katanya selepas pengumuman prestasi pertumbuhan ekonomi suku kedua Malaysia hari ini.

Muhammad berkata demikian bagi mengulas jika bank pusat itu akan menjalankan siasatan baharu terhadap 1MDB susulan saman sivil yang dikemukakan Jabatan Kehakiman (DoJ) Amerika Syarikat bagi merampas aset lebih AS$1 bilion (RM4.01 bilion) yang didakwa dibeli menggunakan AS$3.5 bilion diseleweng daripada 1MDB.

“Apabila ia melibatkan kerjasama antarabangsa, kami tertakluk kepada protokol dan peraturan tertentu, kami akan tertakluk secara ketat kepada protokol berkenaan apabila ia melibatkan kerjasama dengan badan siasatan luar,” katanya.

Pada April, BNM mengenakan kompaun ke atas 1MDB atas kegagalan mematuhi sepenuhnya arahan yang dikeluarkan bank pusat itu di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan 2013.