Hampir 1,500 diberkas dalam tempoh 6 hari Ops Cantas 2

cantas_pdrm_police_2_600_39KUALA LUMPUR: Seramai 1,444 individu ditahan dan enam senjata api dirampas dalam tempoh enam hari pelaksanaan Ops Cantas Khas 2 di seluruh negara sejak dilancarkan pada Sabtu lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Datuk Seri Mohmad Salleh berkata daripada jumlah itu, 138 individu dikehendaki polis atas kesalahan antaranya terlibat dengan kongsi gelap dan gangsterisme.

“Secara keseluruhan kita telah memeriksa 33,684 orang dan 19,558 buah kenderaan di seluruh negara termasuk 54 kenderaan yang dirampas.

“Selain itu 20 peluru, 21 pisau, 13 parang, senjata api dan pedang masing-masing enam, 3 pisau lipat, kuku kambing dan batang besi masing-masing dua ditemui,” katanya pada sidang media di Bukit Aman hari ini.

Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, mengarahkan polis menggerakkan Ops Cantas Khas 2, berikutan peningkatan kes jenayah termasuk kejadian tembak.

Susulan itu, Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim, mengumumkan tiga pasukan elit Polis Diraja Malaysia (PDRM) digabungkan dalam ops berkenaan sebagai usaha menghapuskan elemen kegiatan kongsi gelap dan pembunuh upahan di negara ini.

Tiga pasukan terbabit adalah Pasukan Tindakan Khas Jenayah Terancang (STAFOC), Pasukan Tindakan Khas Judi, Maksiat dan Gengsterisme (STAGG) dan Pasukan Khas Taktikal Perisikan Narkotik (STING).

Mengulas lanjut, Mohmad berkata operasi dijalankan bagi memburu penjenayah yang boleh mengancam keselamatan serta mengganggu kententeraman awam.

“Banyak peningkatan kes keganasan dalam negara kita terutamanya melibatkan unsur gangsterisme dalam penggunaan senjata api sebulan lalu.

“Keadaan ini mencetuskan kebimbangan, rasa gusar dalam kalangan masyarakat tempatan. Ops Cantas Khas 2 dijangka menangani jenayah dan diteruskan sehingga polis merasakan keadaan di bawah kawalan,” katanya.