Kematian menantu Zahid: Klinik pergigian berdepan 9 dakwaan

Syed-Alman-Syed-Alwi

KUALA LUMPUR: Sebuah klinik pergigian di Bangsar berdepan sembilan pertuduhan, termasuk empat berkaitan kematian Datuk Syed Alman Zain Syed Alwi, menantu Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi ketika menerima rawatan pergigian, pada Jun lalu.

Lima lagi pertuduhan itu berkaitan kegagalan Pusat Pakar Pergigian Imperial mematuhi peraturan keselamatan kesihatan.

Klinik itu yang diwakili pengarahnya, Dr Wong Yen Lin dan Sreekant Pillai menafikan semua pertuduhan itu.

Hakim Mahkamah Sesyen, Harmi Thamri Mohamad @ Shaharudin menetapkan 8 September ini sebagai tarikh sebutan semula kes berkenaan.

Tiada ikat jamin dikenakan.

Empat pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 31(4) dan 117(2)(b)(i) Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta, berkaitan kematian Syed Alman Zain yang masing-masing boleh dikenakan denda maksimum RM300,000 dan RM30,000.

Ia disebabkan kegagalan bagi memastikan Dr Ting Teck Chin yang merawat Syed Alman Zain adalah ahli anestesiologis atau pakar bius berkelayakan, serta Noor Azima Muhamad Nuwi yang melakukan imbasan sinar-x (ortopantomogram) ke atas mangsa, berkelayakan.

Tambahan, klinik itu juga didakwa tidak membekalkan tangki oksigen kepada Syed Alman Zain dan gagal menyerahkan rekod perubatan pesakit itu ke Pusat Perubatan Universiti Malaya selepas mangsa dimasukkan ke hospital itu.

Lima lagi pertuduhan itu dibuat di bawah Peraturan 49(7) dan 245(6) Peraturan Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta serta Seksyen 31(4), 39(2) dan 40(4) Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta.

Pertuduhan tambahan itu timbul susulan kegagalan klinik terbabit mengambil langkah secukupnya untuk melindungi semua pekerja bahaya biologi seperti yang diperuntukkan di bawah Peraturan 49(5) Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta; kegagalan memastikan label ubat di bawah Peraturan 245 dan tidak menyimpan serta mengekalkan rekod kakitangan sebagaimana dikehendaki di bawah Seksyen 31 (1)(d) Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta.

Dua pertuduhan lain adalah menggunakan premis perniagaan itu untuk tujuan lain, tidak seperti yang dinyatakan dalam lesen perniagaan dan memberi perkhidmatan bius kepada Syed Alman Zain serta mewujudkan pengembangan fungsi tanpa kebenaran ketua pengarah kesihatan, selain menjejaskan mutu perkhidmatan yang diberikan kepada mangsa.

Denda maksimum di bawah peraturan itu ialah RM10,000 atau tiga bulan penjara atau kedua-dua, manakala denda tertinggi di bawah akta berkenaan ialah RM300,000.

Terdahulu, Dr Ting yang merupakan pakar sakit puan mengaku tidak bersalah atas dakwaan menyebabkan kematian suami Datuk Nurulhidayah yang merupakan anak sulung Ahmad Zahid, pada 1 Jun lalu, ketika menerima rawatan di klinik pergigian itu.

Syed Alman Zain yang dilaporkan tidak sedarkan diri ketika menerima rawatan di klinik swasta itu, dikejarkan ke PPUM sebelum disahkan meninggal dunia.

Doktor didakwa sebabkan kematian menantu Zahid