Kereta api laju KL-Singapura bakal lemahkan pasaran hartanah Malaysia?

keretapihsrPETALING JAYA: Rakyat Singapura dinasihatkan mengelak Malaysia sebagai destinasi pelaburan hartanah buat masa ini, berikutan pembangunan yang kian merudum ditambah dengan prospek kereta api laju Singapura-KL (HSR) yang mungkin memberi impak negatif kepada beberapa bandar di Malaysia.

Seorang pakar hartanah Singapura, Ku Swee Yong berkata ia berikutan situasi politik dan ekonomi di Malaysia boleh memberi tekanan kepada penilaian hartanah sekali gus melemahkan lagi nilai ringgit berbanding dolar Singapura.

Mengambil kira nilai pelaburan di bandar Iskandar, khususnya jumlah yang digunakan untuk pembinaan ruang niaga dan kilang bagi mewujudkan peluang pekerjaan, Swee Yong mempersoal jumlah penambakan dan pembelian tanah oleh pemaju daripada jumlah yang diuar-uarkan iaitu RM202 bilion yang dilabur antara 2006 dan Mac tahun ini.

“Berapa banyak pula nilai pelaburan di bandar itu yang sudah ditarik balik?” soalnya menulis dalam portal berita Singapura, Today Online.

Katanya, pembangunan hartanah di bandar Iskandar dilihat terbantut ekoran tawaran melebihi permintaan sekali gus menandakan kelemahan pasaran itu yang mungkin akan berlanjutan untuk jangka masa tertentu.

Kesan negatif HSR

Ku berkata HSR atau projek kereta api laju yang diangkat sebagai peneraju ekonomi kedua-dua negara, dijangka memberi kesan sebaliknya.

“Kita juga mungkin menjangka ekonomi Singapura dan Kuala Lumpur berkembang tetapi ekonomi di bandar menempatkan stesen perantara iaitu Putrajaya, Seremban, Ayer Keroh, Muar, Batu Pahat dan Nusajaya bakal mengecut,” kata Ku.

Ku berkata ia berdasarkan pengalaman di China di mana projek kereta api laju memberi kesan negatif kepada bandar kecil.

Menurutnya, penduduk di bandar yang dihubungkan HSR akan lebih gemar bekerja ke Singapura dengan adanya perkhidmatan kemudahan kereta api laju, di mana mereka menjana pendapatan dalam dolar Singapura dan pulang ke rumah setiap malam.