Malaysia di tangga ke-29 negara amalkan perhambaan moden

Modern slavery

PETALING JAYA: Malaysia diletakkan di kedudukan 29 daripada 167 negara dalam senarai global perhambaan moden, menurut badan Walk Free Foundation yang berusaha membanteras semua bentuk perhambaan.

Indeks kajian perhambaan global yang dikeluarkan badan berpusat di Australia itu mendapati seramai 128,800 rakyat Malaysia terbabit dalam sistem perhambaan moden ini.

Indeks tersebut berdasarkan tindakan kerajaan dalam melawan perhambaan moden, dan perkhidmatan sokongan terhadap mangsa.

Ia mendapati beberapa dasar kerajaan dan amalan di banyak negara membantu proses perhambaan.

Senarai itu meletakkan Korea Utara, Uzbekistan, Cambodia, India dan Qatar di tangga teratas negara yang mengamalkan perhambaan.

Laporan itu mendapati 45.8 juta orang di 167 negara terlibat dalam sistem perhambaan moden

Perhambaan moden dirujuk sebagai situasi kebebasan seseorang dirampas pihak lain termasuk kebebasan dalam pekerjaan atau untuk berhenti bekerja.

Mangsa sistem ini diragut dengan ancaman, keganasan, paksaan, salah guna kuasa dan penipuan. Akhirnya, seseorang itu tidak boleh menolak atau meninggalkan situasi dialaminya.