Rafizi mohon pembatalan sebahagian tuntutan saman LTAT

rafizi ltat

KUALA LUMPUR: Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli memohon pembatalan sebahagian tuntutan saman yang dibuat Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) ke atasnya.

Peguamnya Saiful Izham Ramli berkata, permohonan tersebut dibuat di Mahkamah Tinggi Isnin lepas ekoran separuh dakwaan yang dibuat LTAT menerusi saman tersebut tidak dilakukan oleh anak guamnya dan kesemua tuntutan tersebut melibatkan teknikal.

“Kami baru sahaja memasukkan permohonan untuk “striking out’ sebahagian daripada kenyataan tuntutan LTAT.

“Kita tidak membuat pembatalan permohonan seluruh saman tetapi sebahagian kenyataan LTAT memandangkan mereka menuntut perkara yang ada dalam bahasa Melayu tetapi artikel itu dalam bahasa Inggeris.

“Malah, ada juga tuntutannya yang tidak diucapkan oleh Rafizi,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri sesi pengurusan kes di Mahkamah Tinggi hari ini.

Katanya, pihak hakim Mahkamah Tinggi menanguhkan sesi pengurusan kes sebelum memutuskan permohonan Rafizi pada 12 Oktober nanti.

Sebelum ini,Rafizi merancang untuk memanggil bekas Pengerusi 1MDB, Tan Sri Lodin Wok Kamaruddin untuk memberi keterangan dalam saman LTAT ke atasnya.

LTAT menyaman ahli Parlimen Pandan atas dakwaan memfitnah ekoran pendedahan pesara tentera tidak mendapat ganti rugi persaraan pada masa yang tepat.

Beliau juga berdepan dakwaan di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA) kerana mendedahkan dokumen kerahsiaan.

Malah pada awal bulan April, Rafizi ditahan reman selama tiga hari, berhubung pendedahan dokumen sulit yang didakwa mengaitkan 1MDB dengan LTAT.