Ramalan banjir dikeluarkan tujuh hari lebih awal

zahid banjir

PUTRAJAYA: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, antara langkah yang akan diambil dalam pelan tindakan mitigasi banjir ialah memberi ramalan banjir tujuh hari lebih awal berbanding satu hari sebelum ini.

“Pengumuman ramalan itu akan dilakukan Jabatan Meteorologi Malaysia (MET) dalam usaha mengurangkan risiko keselamatan nyawa, kerosakan harta benda, infrastruktur serta kemudahan awam,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Pengurusan Bencana Pusat hari ini.

Jawatankuasa Tertinggi Pengurusan Bencana Pusat hari ini menggariskan pelan tindakan mitigasi banjir yang menumpukan tiga negeri di pantai timur, iaitu Pahang, Terengganu dan Kelantan yang sering berdepan risiko bencana itu setiap tahun.

Menteri dalam negeri itu berkata, mulai tahun ini, Oktober dipilih sebagai Bulan Kesiapsiagaan Negara dalam menghadapi bencana banjir, susulan jangkaan fenomena La Nina akan berlaku mulai Ogos hingga Oktober dan dijangka berakhir pada suku pertama tahun depan.

Bagaimanapun, beliau difahamkan oleh MET yang ancaman banjir pada tahun ini dijangka tidak seteruk banjir dihadapi negara pada 2014.

“Kita akan memberi kesedaran kepada orang ramai untuk bekerjasama dalam melakukan persiapan menghadapi musim banjir, di mana ketika ini ramalan banjir diberikan dalam tempoh 24 jam. Ia menyukarkan operasi perpindahan dan pengurusan mangsa banjir,” katanya.

Dalam pada itu, sebagai langkah jangka panjang mengurangkan risiko banjir di negara ini, Ahmad Zahid berkata, Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar mengusulkan pelan mitigasi banjir negara kepada jawatankuasa itu.

“Kos pelan mitigasi banjir ini dianggap terlalu besar, iaitu kira-kira RM36 bilionm tetapi ianya mesti dirancang mulai sekarang.

“Kajian awal dan kajian kemungkinan sudah dilakukan, namun tiada wang yang diperuntukkan buat masa ini kerana kurang kemampuan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, ketika diminta mengulas seorang doktor perbidanan dan sakit puan yang didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas pertuduhan menyebabkan kematian menantu beliau ketika mendapatkan rawatan pergigian pada Jun lalu, Ahmad Zahid berharap keadilan dapat ditegakkan.

Dr Ting Teck Chin mengaku tidak bersalah atas dakwaan menyebabkan kematian Datuk Syed Alman Zain Syed Alwi pada 1 Jun lalu, ketika menerima rawatan di Pusat Pakar Pergigian Imperial.

Syed Alman Zain, 44, suami kepada anak sulung Ahmad Zahid, Datuk Nurulhidayah, 37, dilaporkan tidak sedarkan diri ketika menjalani rawatan di klinik pergigian swasta di Bangsar itu dan dirujuk ke Pusat Perubatan Universiti Malaya sebelum disahkan meninggal dunia.