Sanjeevan dibebaskan dengan ikat jamin

Sanjeevan_law_600PETALING JAYA: Pengerusi MyWatch, Datuk R Sri Sanjeevan dibebaskan dengan ikat jamin pagi tadi, susulan penahanannya semalam.

Sanjeevan memberitahu FMT dia dibebaskan dengan ikat jamin RM3,000 dan seorang penjamin oleh Mahkamah Majistret Temerloh di Pahang, hari ini.

“Pasukan yang menahan saya terdiri daripada 15 lelaki dan diketuai seorang Superintenden yang jarang berlaku. Ia memberi tanggapan saya seperti seorang pengganas,” katanya.

Selepas penahanannya, Sanjeevan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang sebelum dihantar ke Ibu Pejabat Polis Daerah Bera di Pahang dan ditahan dalam lokap.

Pagi tadi, Sanjeevan didakwa di Mahkamah Majistret Temerloh atas pertuduhan memeras ugut RM1,500 daripada peniaga, Chan Leong Kwan, 40, pada 1 Julai 2013.

Dia mengaku tidak bersalah dan diberikan ikat jamin. Tarikh sebutan kes itu ditetapkan 7 September ini.

Sanjeevan mempersoalkan kenapa polis perlu mengambil masa lama untuk menahannya berdasarkan laporan pada 2013, walaupun beliau menghadiri banyak majlis anjuran polis.

“Adakah ini bermakna polis perlu mengambil masa tiga tahun untuk menyiasat satu kes atau IO (pegawai penyiasat) tidur selama ini? Atau penahanan dan pendakwaan dibuat akibat tekanan daripada Bukit Aman?” soalnya.

Dia turut mendakwa wujud dwistandard, kerana laporan terhadapnya disiasat asisten superintendan dan sebuah “pasukan khas” dari Bukit Aman, manakala laporan dia didera ketika berada dalam tahanan polis hanya ditugaskan kepada seorang inspektor dari balai polis daerah.

“Kenapa begitu banyak layanan khas dan perhatian diberikan kepada pengusaha perjudian haram?” soalnya.

Penahanan Sanjeevan semalam adalah kali kelapan sepanjang dua bulan ini atas pelbagai kesalahan.

Awal bulan ini, dia ditahan di bawah Akta Pencegahan Jenayah 1959 (Poca) sebelum dibebaskan.

Sanjeevan, 32, pertama kali ditahan pada 22 Jun lalu bersama pemandunya dekat Plaza Tol Nilai, susulan satu aduan pemilik perjudian haram yang mendakwa mendapat panggilan meminta wang “perlindungan” sebanyak RM25,000.

Sanjeevan ditahan lagi