Shah Rukh Khan ditahan di AS

Shah-Rukh-Khan

NEW DELHI: Superstar Bollywood, Shah Rukh Khan berkongsi rasa tidak puas hati terhadap imigresen lapangan terbang Amerika Syarikat selepas ditahan untuk kali ketiga dan menggambarkannya sebagai pengalaman paling menjengkelkan di laman sosial Twitternya.

Sebelum ini pada 2012, SRK, 50, ditahan pegawai imigresen di New York sekali gus mencetuskan kegemparan dalam kalangan peminatnya di India yang menuduh AS bersikap perkauman sehingga Washington terpaksa memohon maaf atas kejadian itu.

“Saya sangat faham dan menghormati tahap keselamatan yang dipraktis dalam keadaan dunia sekarang, tetapi ditahan di imigresen AS setiap kali benar-benar menjengkelkan,” tulis SRK selepas diarah berkurung di bilik imigresen lapangan terbang Los Angeles.

“Satu perkara baik berlaku sementara menunggu ialah berjaya menangkap beberapa Pokemon”.

Berita tahanan SRK segera dipancarkan di saluran televisyen di India sehingga Penolong Setiausaha Negara AS, Nisha Biswal melahirkan rasa kesal atas kejadian itu.

“Maaf atas segala kerumitan di lapangan terbang, @iamsrk – diplomat Amerika juga tidak terlepas daripada pemeriksaan tambahan,” balas tweet Biswal.

Washington sebelum ini telah menafikan dakwaan SRK ditahan kerana namanya menunjukkan dia seorang Islam.

Individu yang mempunyai nama yang sama dengan SRK dilaporkan dalam senarai 80,0000 larangan terbang ke AS.

Selepas kejadian pada 2012, Khan dalam ucapannya di Universiti Yale berjenaka semakin biasa diri dengan situasi sedemikian.

“Ya, ia sentiasa berlaku … Setiap kali saya berasa angkuh dengan diri sendiri, saya ambil penerbangan ke Amerika,” katanya. “Lelaki di imigresen menendang keluar kemasyhuran yang saya miliki,” lawaknya.

SRK ditahan lebih dua jam di lapangan terbang Newark di New York pada 2009, menyebabkan India membantah kejadian itu dan AS segera memohon maaf.

Pada bulan Februari lalu, seorang pelakon Sikh India-Amerika dan perekanya, Waris Ahluwalia, dilarang menaiki penerbangan Aeromexico dari Mexico City ke New York kerana dia enggan menanggalkan serbannya.