Tina Turner Malaysia, Sahara, akhirnya dapat flat PPR

saharaPETALING JAYA: Selepas terabai sekian lama tanpa rumah untuk berlindung, semalam, artis veteran Sahara Yaacob berpindah ke sebuah flat Projek Perumahan Rakyat (PPR) berhampiran Sungai Besi, Kuala Lumpur.

Dikenali sebegai Tina Turner Malaysia semasa zaman kegemilangannya pada era 1990-an, nama Sahara hampir dilupai oleh semua sehinggalah dia ditemui tinggal menumpang di rumah kakaknya dalam keadaan kemiskinan.

“Saya fikir akan terus tinggal di bilik setor rumah arwah kakak saya,” kata Sahara seperti yang dipetik Berita Harian.

Ekoran pendedahan itu, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengambil keputusan untuk membantunya dengan menawarkan rumah baharu.

“Buat masa ini, perkara yang paling penting ialah untuk membina hidup baru. Saya tidak kisah tidur di atas lantai kerana saya terbiasa dengan kehidupan yang sukar,” kata Sahara merujuk kepada unit flatnya yang masih belum berperabot.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada semua orang yang membantu dan menyokong saya,” katanya.

Menurut laporan itu, Sahara akui berasa segan hidup bergantung kepada saudara-maranya yang juga bukan daripada golongan berada malah sentiasa bersedia untuk berlapar kerana enggan membebankan keluarga kakaknya.

Sementara itu, Berita Harian melaporkan Sahara bakal membuat persembahan di konsert kemunculan semula tahun depan, namun tiada maklumat lanjut tentang acara itu disediakan.